Jenayah

Bekas Naib Canselor UPSI Didakwa Kes Salah Guna Kuasa

IPOH: Bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan salah guna kuasa melantik anak dan menantunya ke dua jawatan di universiti itu, empat tahun lalu.

Dia yang memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dirinya dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim S Indera Nehru.

Bagi pertuduhan pertama, Zakaria, 61, didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu Naib Canselor di UPSI merangkap Pengerusi Mesyuarat Pengurusan Eksekutif Bil 24/2014, menggunakan jawatannya apabila terbabit dalam membuat keputusan meluluskan anaknya, Mohd Fauzi untuk dilantik ke Lantikan Kontrak bagi Jawatan Jurutera (Awam) Gred J41 di universiti itu dalam Mesyuarat Pengurusan Eksekutif Bilangan 24/2014.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan sama iaitu terbabit keputusan meluluskan menantunya, Siti Nooraishah Mansor dilantik sebagai calon Simpanan 2 bagi Jawatan Juruteknik Gred FT17 secara kontrak di universiti sama dalam mesyuarat sama.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Bilik BC 2-7, Bangunan Canselori, UPSI, antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, 8 Oktober 2014.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin, yang melakukan pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh.

Zakaria yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu supaya jumlah itu dikurangkan atas alasan dia sudah bersara serta perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua anak yang masih belajar selain masih perlu membiayai pinjaman perumahan.

Indera Nehru kemudian menetapkan jumlah jaminan RM15,000 bersama seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga terdekat dan mengarahkan tertuduh melantik peguam bagi pengurusan kes yang ditetapkan pada 7 Disember ini. Zakaria membayar wang jaminan itu lapor NSTP.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");