Perak Hari Ini

Belanjawan Negeri 2019: Peruntukan Kepada Sektor Kebajikan Bakal Meningkat

IPOH: Peruntukan bagi sektor kebajikan kepada rakyat di Perak dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2019 pada minggu hadapan bakal menyaksikan peningkatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Wong May Ing berkata, perkara itu berlaku kerana terdapat pertambahan inisiatif kebajikan sama ada yang dirancang kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan, menerusi pembentangan Belanjawan Nasional 2019 yang lalu.

Katanya, antara perkara yang sedang dirangka kerajaan negeri untuk dilaksanakan pada tahun hadapan ialah memperkenalkan kad kesihatan dan kad makanan bagi golongan yang memerlukan.

Namun katanya, ia akan diulas lanjut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam sesi pembentangan belanjawan negeri nanti.

Selain itu, ujar May Ing, pada tahun hadapan, kerajaan negeri juga bakal melaksanakan kempen kesedaran penjagaan keselamatan kanak-kanak kepada para pelajar, yang memfokuskan kepada cara-cara menangani penderaan seksual.

Jelasnya, langkah tersebut juga dilihat mampu memperkasakan kembali inisiatif yang dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi program ‘Sahabat B.I.J.A.K (Banteras, Indeks, Jenayah, Terhadap Kanak-kanak) Save and Protect’.

“Kerajaan negeri bakal memperluaskan lagi kempen kesedaran terhadap kanser payudara kepada masyarakat.

“Ia juga untuk menggalakkan lebih ramai wanita mendaftar dengan kerajaan bagi menerima bantuan program saringan percuma pengesanan kanser payudara ataupun mamogram.

“Tahun ini kerajaan persekutuan mengumum akan meneruskan inisiatif tersebut dan saya difahamkan Perak bakal menerima 4,000 kuota untuk program tersebut.

“Kerajaan negeri juga mungkin akan menambah bilangan kuota tersebut dari semasa ke semasa,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Minum Petang Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) di Hotel Impiana, di sini, hari ini.

Pada masa sama, May Ing berkata, pada tahun hadapan, kerajaan negeri juga bakal melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha memperkasakan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Selain itu, beliau turut menyeru semua pihak khususnya ibu bapa, untuk mendaftarkan anak-anak OKU mereka kepada JKM.

Selain bertujuan untuk penyaluran bantuan, May Ing berkata, dengan berbuat demikian, ia bakal memudahkan pihak kerajaan untuk melakukan perancangan dan pembangunan dari segi infrastruktur untuk golongan tersebut, di sesebuah kawasan.

Sehingga hari ini, sekitar 42,000 orang OKU yang berdaftar dan beliau tidak menolak kemungkinan masih ramai golongan OKU yang masih lagi belum berbuat demikian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");