Sukan Hari Ini

Chong Wei Menangis Seminggu

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui dia menangis selama seminggu sebaik mengetahui dirinya menghidap kanser hidung tahap awal, Julai lalu.

Berkongsi perkembangan tahap kesihatannya menerusi sidang media khas yang diadakan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini, bekas pemain nombor satu dunia itu menyifatkan berita dia menghidap kanser berkenaan adalah satu tamparan terbesar dalam hidupnya.

“Selepas kembali daripada saingan Terbuka Indonesia, saya mengalami masalah kesihatan dan saya buat keputusan untuk menjalani pemeriksaan menyeluruh. Sebaik keputusan diketahui, saya sangat terkejut dan menangis selama seminggu.

“Saya tidak boleh nak makan, tak boleh nak tidur. Saya seolah-olah tiada hala tuju ketika itu.

“Namun, saya juga tahu saya perlu kuatkan diri bagi menjalani rawatan,” kata Chong Wei yang turut memaklumkan dia belum mahu bersara sebaliknya lebih bersemangat beraksi sehingga Sukan Olimpik Tokyo 2020, lapor BH Online.

Mengulas mengenai keputusan menjalani rawatan di Taiwan, Chong Wei berkata doktor mencadangkannya untuk ke sana kerana negara itu memiliki teknologi rawatan yang lebih baik bagi menyembuhkan kanser hidung yang dialaminya.

“Saya ke Taiwan untuk mendapatkan pandangan kedua. Selepas pemeriksaan dilakukan dan perbincangan bersama semua pihak termasuk keluarga, saya buat keputusan menjalani rawatan di sana.

“Isteri, anak, abang dan seluruh keluarga saya berada bersama saya. Itu memberikan saya motivasi untuk melawan penyakit ini,” katanya.

Pemain berusia 36 tahun itu berkata, sepanjang dua bulan setengah melakukan rawatan di Taiwan, dia perlu menjalani proton terapi sebanyak 33 kali.

“Ia rawatan yang cukup sukar untuk saya. Sehari saya perlu menjalani rawatan itu selama 25 minit. Doktor beritahu saya, apa yang saya perlu lakukan adalah makan kerana perlu ada tenaga untuk menghabiskan rawatan ini.

“Namun, minggu ketiga saya sudah merasai kesukaran untuk makan dan minum. Saya hanya dapat minum susu saja ketika itu,” kata Chong Wei yang turut memaklumkan dia baru saja pulang dari Taiwan bagi menjalani pemeriksaan susulan dan doktor memberitahu proses pemulihannya berjalan dengan baik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");