Perak Hari Ini

Dedah nama Atau Terima Padah Kerana Fitnah – PKR Perak

IPOH: PKR Perak mendesak UMNO membuat pendedahan nama pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang didakwa terbabit dalam usaha dan cubaan menggulingkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ketua Penerangannya, Siti Aishah Shaik Ismail, berkata selepas beberapa lama isu berhubung ketidakstabilan PH di Perak sudah pun dianggap selesai, rakyat dihidangkan lagi dengan dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Saarani Mohamad berhubung cubaan menjatuhkan Menteri Besar.

“Saya dengan ini mencabar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak bagi menyatakan secara terbuka nama pemimpin PH yang terbabit dalam isu ini supaya ia boleh membuktikan sejauh mana kebenaran dakwaan beliau.

“Saya juga turut meminta Yang Berhormat Saarani untuk menamakan sebarang individu yang melakukan kerja terkutuk ini sekiranya ia benar-benar berlaku.

“Ini kerajaan yang terbina dengan kepercayaan rakyat dan rakyat bukan mahu dihidangkan dengan berita politik yang jelik mainan pemimpin politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Saarani yang juga Ketua Pembangkang Perak, mendakwa beberapa EXCO kerajaan negeri sudah menghubungi sekurang-kurangnya lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan ditawarkan dengan pelbagai tawaran supaya membantu usaha mereka dalam menyokong usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Faizal di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Saarani dipetik berkata, semua ADUN UMNO itu bagaimanapun sudah berikrar tidak akan berkomplot dengan mereka kerana parti itu mempunyai jalan tersendiri untuk menjadi kerajaan termasuk menerusi pilihan raya, bukan dengan cara mengkhianati mana-mana pihak.

Siti Aishah berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya pemimpin PH mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap Saarani sekiranya gagal membuktikan apa yang didakwa itu.

Katanya, tindakan undang-undang itu penting bagi membuktikan kepada rakyat Perak bahawa isu berkenaan hanyalah isu yang dimainkan oleh UMNO bagi mengalih perhatian rakyat berhubung soal pentadbiran kerajaan PH di Perak yang kini komited dalam memastikan hak dan kebajikan rakyat berjalan dengan baik di bawah kepemimpinan Menteri Besar.

“Kepada kepemimpinan PH yang menerajui kepemimpinan negeri suka saya mengingatkan bahawa ini adalah masa untuk kita melakukan sehabis baik, khidmat kita kepada rakyat dan bukan kekal berfahaman sebaliknya.

“Ini kerajaan yang didirikan atas semangat pasukan dan biar ia kekal berterusan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");