Perak Hari Ini

Deepavali Tetap Meriah Walau Disambut Sederhana

IPOH: Sesuai dengan maknanya iaitu cahaya yang mengatasi kegelapan, perayaan Deepavali sentiasa disambut meriah buat warga kota walaupun kebanyakan mereka merayakannya dengan cara sederhana.

Cuti panjang yang bermula pada Sabtu lalu, dan ditambah dengan pengumuman cuti tanpa rekod untuk penganut agama Hindu menambahkan lagi keceriaan buat mereka untuk meluangkan masa bersama keluarga masing-masing.

Pertunjukan bunga api di sekitar kawasan Buntong menjadikan ia sebagai salah satu tarikan warga Bandaraya Ipoh untuk ke sana malam tadi.

Menurut penduduk, S.Segar, 33, ia merupakan seolah-olah acara tahunan yang diadakan para penduduk sendiri tatkala tiba pada malam perayaan Deepavali.

“Pada malam Deepavali, Buntong akan mengalami kesesakan. Pertamanya mungkin kerana kepulangan ahli keluarga untuk beraya dan kedua adalah kerana kedatangan orang luar ke Buntong untuk melihat sendiri pertunjukkan bunga api.

“Jika malam perayaan lain ada tempat-tempat yang meriah dan, Deepavali pula malam yang paling meriah di Buntong,” katanya kepada PerakToday, di sini.

Semantara itu, bagi ahli perniagaan, V.Kesavvan, 41, walaupun hanya disambut dengan sederhana, makna kemeriahan Deepavali sebenarnya apabila kesemua ahli keluarga dapat berkumpul bersama-sama.

Dia yang bekerja dan menetap di Ibu Negara berkata, perayaan Deepavali adalah masa terbaik untuk merapatkan hubungan adik-beradik dan saudara-mara yang jarang bertemu.

“Deepavali ini adalah perayaan yang melambangkan kebahagiaan kekeluargaan. Seperti saya yang agak kesibukan kerja akhir-akhir ini, agak jarang untuk pulang ke Ipoh.

“Jadi, apabila ada perayaan sebegini, saya boleh pulang bersama isteri, membawa anak-anak untuk mereka lebih mengenali keluarga mereka yang di sini yang lain dengan lebih rapat,” katanya.

Selain itu, S. Suresh, 31, yang menetap di Bercham berkata, keluarganya juga turut menyambut Deepavali dengan sederhana kerana mereka telah kehilangan nenek tercinta pada awal tahun ini.

Namun ujarnya, ahli-ahli keluarganya tetap berkumpul meraikan Deepavali selain pada masa sama, turut menerima kunjungan keluarga dan rakan-rakan yang lain.

“Walau secara sederhana, kami tetap menyediakan masakan dan manisan untuk keluarga dan tetamu yang berkunjung ke rumah kami.

“Anak-anak pula tetap gembira apabila ada saudara mara mereka yang memberikan duit raya kepada mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");