Jenayah

Dua Bayi Lelaki Dipercayai Didera Pengasuh

KUALA LUMPUR: Dua bayi lelaki dipercayai didera pengasuh mereka di sebuah taska di Desa Saujana Kajang dekat sini, pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat berkata dalam kejadian pada 4.30 petang itu, sepasang suami isteri mengambil anak mereka berusia lima bulan di taska tersebut dan setibanya di rumah, bayi berkenaan mengalami muntah-muntah.

“Satu lagi pasangan yang turut menggunakan khidmat taska sama mengesyaki bayi mereka berumur tujuh bulan didera kerana terdapat kesan lebam di leher bayi itu,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi lapor Bernama.

Beliau berkata kedua-dua pasangan suami isteri itu kemudian meminta pemilik taska memeriksa kamera litar tertutup sebelum mendapati salah seorang pengasuh menghempas dan menggoncang salah seorang bayi berkenaan.

Fadzil berkata mereka membawa anak masing-masing ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut pada hari yang sama.

Katanya hasil pemeriksaan pada bayi pertama, doktor mendapati terdapat kesan lebam serta kesan disyaki kuku jari lebih kurang satu sentimeter di bahagian dada.

Sementara bayi kedua, beliau berkata, mempunyai kesan lebam di leher.

Fadzil berkata pihaknya kini sedang mengesan Nuriza Mohd Rasdi, 31, yang beralamat di Pangsapuri Cempaka, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi bagi membantu siasatan kes di bawah Sekyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");