Berita Hari Ini

Dua Calon SPM Maut, Kenderaan Dinaiki Langgar Lembu

KOTA BHARU – Dua pelajar lelaki calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal yang dinaiki mereka melanggar seekor lembu sebelum terjatuh di laluan bertentangan dan digilis sebuah kereta dalam kemalangan di Kampung Simpang Cabang Tinggi Sabak, Pengkalan Chepa, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam, kedua-dua mangsa, Muhammad Aideed Mohd. Roslan, 17, dan Muhammad Emdy Syazwan Md. Norrizan, 17, maut serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Motosikal jenis Honda RS150 itu ditunggang oleh Muhammad Aideed yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Panchor Perdana dan dibonceng oleh Muhammad Emdy Syazwan yang merupakan pelajar Kolej Vokasional Bachok dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, semasa kejadian kedua-dua mangsa yang datang dari arah Sabak ke Pengkalan Chepa telah melanggar seekor lembu lalu terjatuh dan terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu seorang pesara lelaki berusia 61 tahun gagal mengelak mangsa berikutan jarak yang terlalu dekat dan menggilis kedua-duanya.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal serta-merta di lokasi kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Tambahnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");