Perak Hari Ini

ICERD: Rakyat Seru Kerajaan Ambil Pertimbangan Rasional

IPOH: Walaupun usaha ke arah meraktifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) masih kelihatan samar namun, tidak dapat dinafikan isu tersebut sedang hangat diperkatakan oleh orang ramai.

Seorang kakitangan awam, Muhmmad Wazir Mohd Salleh, 31, berkata kerajaan seharusnya mengambil kira pandangan semua pihak, khususnya dalam kalangan rakyat, sebelum sebarang keputusan melibatkan dasar-dasar negara diambil.

Katanya, beliau menyokong gesaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, yang menasihati kerajaan untuk menolak sebarang cadangan untuk meraktifikasi ICERD.

“Saya secara peribadi berpandangan bahawa usaha meraktifikasi ICERD ini bakal menggambarkan kepada dunia seolah-olah Malaysia selama ini telah menindas masyarakat yang bukan Bumiputera.

“Walhal, dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri secara jelas dinyatakan memberi perlindungan dan hak kepada semua warganegara tanpa mengira latar belakang bangsa,” katanya kepada PerakToday, hari ini.

Selain itu, bagi Fauziah Ahmad Sani, 42, kerajaan tidak perlu meraktifikasi ICERD kerana di Malaysia tidak berlaku sebarang bentuk diskriminasi kaum sebagaimana yang didakwa sesetangah pihak.

Katanya lagi, kerajaan seharusnya mengambil pertimbangan yang lebih rasional walaupun telah berjanji akan mengekalkan artikel 153 yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Saya berharap agar kerajaan dapat meneruskan agenda mereka dalam usaha mempertahan dan memperkasakan perlembagaan yang mana ia termasuk dengan Perkara 153.

“Saya juga merasakan tidak perlu untuk kerajaan meraktifikasi sebarang dasar-dasar daripada luar negara yang secara jelas bertentangan dengan Perelambagaan Persekutuan,” ujarnya.

Sementara itu, penuntut di sebuah institusi pengajian swasta di sini, Muhammad Khusyairi Hussein, 23, berkata, semua pihak harus berhati-hati terhadap sebarang tindakan ataupun memberi pandangan berhubung isu meraktifikasi ICERD.

Jelasnya, kerajaan juga sepatutnya memberikan penerangan yang jelas kepada rakyat supaya isu tersebut supaya ia tidak menjadi ‘barah’ yang akan merosakkan perpaduan kaum di negara ini.

“Jika dilihat di media-media sosial hari ini, isu meraktifikasi ICERD sangat hangat dibincangkan, malah jika tidak ditangani dengan cepat, ia mungkin akan mengakibatkan ketidakselesaan antara kaum.

“Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak. Isu ini sensitif. Biar pihak yang benar-benar ‘arif’ sahaja yang komen isu ini. Kerajaan juga harus bijak bertindak,” katanya.

Sementara itu, ahli perniagaan, Yahya Ahmad Saad, 42 berkata jika terdapat juga sebarang usaha ICERD untuk ia diraktifikasi sekali pun, kerajaan diharap agar ia dapat diperhalusi dan diadaptasi mengikut suasana di Malaysia.

Dia juga menyeru agar kerajaan turut menjemput pihak Raja-raja Melayu untuk membincangan isu berkenaan.

“Jika dasar antarabangsa itu tetap akan diraktifikasi, saya berharap agar ianya dapat diolah mengikut acuan negara kita dan tidak mengugat sebarang peruntukkan dalam Perlembangaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, dalam satu laporan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hala tuju ICERD perlu dirunding dengan semua kaum di Malaysia, selain ia juga perlu ditangani dengan penuh cermat sebelum kerajaan mencatur sebarang keputusan muktamad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");