Perak Hari Ini

“Jangan Sokong Kami ‘Membuta Tuli’, Tegur Jika Ada Kesalahan” – MB Perak

IPOH: Kerajaan Perak menyambut baik sokongan yang diberikan masyarakat Orang Asli khususnya kepada pimpinan kerajaan negeri yang baharu.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyeru agar mereka tidak menyokong mana-mana pihak secara ‘membuta tuli’.

Ujarnya jika masyarakat Orang Asli ingin mengalami perubahan corak kehidupan ke arah yang lebih baik, mereka juga harus berubah dan menghakis sikap yang demikian.

Namun, jelas Ahmad Faizal, sokongan mereka amat penting kepada pimpinan kerajaan negeri dalam agenda untuk terus membantu membela nasib masyarakat Orang Asli di seluruh negeri.

“Jika mahukan perubahan yang baik, sokonglah kami namun, jangan sokong secara membuta tuli. Jika kami ada melakukan kesalahan, tegurlah kami.

“Jangan sokong kerana kami ini kerajaan. Jangan kerana ada Yang Berhormat datang membawa beras, terus beri sokongan kepada dia,” katanya.

Selain itu, beliau turut sekali lagi menyeru kepada masyarakat Orang Asli agar dapat menitikberatkan perihal pendidikan anak-anak mereka.

“Kita kena ubah pemikiran kita jika mahu maju. Kalau kita tidak pentingkan pendidikan, maka kita tidak akan maju,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Tok-Tok Batin Bersama Menteri Besar di MH Hotel, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, ujar Ahmad Faizal, kerajaan negeri akan terus memberikan peruntukan dan bantuan kepada masyarakat Orang Asli, mengikut keperluan dan kedudukan kewangan negeri semasa.

Beliau juga menyambut baik dan akan meneliti cadangan-cadangan yang diutarakan wakil Tok Batin, Ahab Sudin ketika berucap pada majlis yang sama.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar bersetuju dengan cadangan Ahab yang mengesyorkan kepada kerajaan negeri agar Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak dikekalkan di bawah portfolio Exco Luar Bandar, Asmuni Awi.

Katanya di peringkat persekutuan, JAKOA kini sedang ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga bersetuju untuk memberikan bantuan pakaian persekolahan kepada murid-murid Orang Asli yang bakal berada di Tahun 1 dan Tingkatan 1, tahun hadapan.

Pada majlis sama, Ahmad Faizal turut berkesempatan menyampaikan insentif kepada empat atlet Orang Asli yang berjaya meraih pingat perak dan emas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");