Berita Hari Ini

‘Jiha Pergi Dulu…’

GUA MUSANG: “Bye (selamat tinggal) kakak, bye adik. Jiha pergi dulu kita jumpa di syurga, nanti Jiha tunggu.” Begitulah luahan Nur Najiha Mohd Zaki, 20, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Lojing, dekat Kampung Lalat, semalam.

Luahan lukisan kartun itu dihantar oleh Nur Najiha kepada saudara-mara, sepupu dan rakan seminggu lalu.

Dalam kemalangan 5.50 pagi semalam, Nur Najiha bersama dua penumpang lain berusia 20 tahun maut manakala pemandu Perodua Myvi cedera, namun pemandu lori, 37, tidak cedera.

Ibu Nur Najiha, Mek Gayah Othman, berkata, dalam tempoh dua bulan ini anak ketiga daripada lima beradik itu sering memuat naik status berkaitan kematian di laman sosial Facebook miliknya.

“Hujung September lalu, anak mengingatkan kematian yang pasti akan berlaku tidak kira usia muda dan semua orang perlu membuat persediaan untuk menghadapi kematian.

“Mungkin anak saya rasa kematiannya sangat dekat dan sering mengingati semua orang termasuk ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpol, To’ Uban, Pasir Mas, hari ini.

Menurutnya, anaknya seorang yang kuat pegangan agama kerana dia bersekolah di sekolah Arab dan memakai purdah sejak tingkatan empat.

Katanya, kali terakhir anaknya yang menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) menghubungi pada 9.30 malam kelmarin kerana mahu pulang untuk melihat neneknya, Mek Som Konok, 78, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 9.05 malam.

Menurutnya, anaknya menumpang kereta rakannya dan akan berjumpa dengan abang sulung, Muhammad Kamarizal Izzudin, 24, di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gua Musang, sebelum bergerak ke Pasir Mas.

“Kenderaan dinaiki anak dari UUM dan melalui jalan Cameron Highlands, Pahang untuk ke Gua Musang.

“Belum sempat berjumpa abangnya, anak dan rakannya kemalangan. Hasrat anak untuk melihat jenazah neneknya tidak kesampaian kerana meninggal dunia, malah saya menerima dua kematian insan tersayang dalam tempoh 10 jam.

“Saya menerima panggilan daripada polis jam 9.30 pagi semalam yang memaklumkan anak kemalangan. Saya reda dengan kejadian ini kerana sudah takdir dari Allah SWT,” katanya sambil menambah jenazah ibu dan anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Simpul.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");