Berita Hari Ini

Kabinet Akan Bincang Isu ICERD – TPM

PUTRAJAYA: Isu membabitkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) belum dibincangkan Kabinet secara terperinci, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Memetik laporan BH Online, Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan Kabinet akan membincangkan mengenai ratifikasi ICERD dan isu yang timbul serta pandangan dan kebimbangan pelbagai pihak berhubung cadangan berkenaan.

“Belum.. kita belum lagi bincang secara terperinci dalam Kabinet, ini kita akan bincangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Persidangan Melestari Kesejahteraan Kanak-Kanak, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai protes dilakukan beberapa pihak berhubung cadangan meratifikasi ICERD.

Semalam, dianggarkan lebih 1,500 orang berkumpul di sekitar pekarangan Masjid Jamek, Kampung Baru di ibu kota membantah pengiktirafan ICERD di Malaysia yang dianggap bakal menggugat kepentingan agama dan menghakis hak bumiputera.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad sebelum ini mendakwa, tindakan meratifikasi atau mengesahkan ICERD akan mengakibatkan berlakunya penghapusan kepada hak istimewa yang dimiliki orang Melayu serta anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy dipetik berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk melaksanakan ICERD pada suku pertama tahun depan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, dilaporkan berkata, kerajaan akan mengadakan perbincangan meja bulat pada 7 November ini bersama NGO Islam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi membincangkan cadangan meratifikasikan ICERD.

Dalam pada itu ditanya berhubung dakwaan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli diserang dan dipukul di bahagian kepala di Cabang Keningau, Sabah sebelum ini, Dr Wan Azizah berkata, hal itu akan disiasat.

Sementara itu dalam ucapan penutupan persidangan, beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, berkata kerajaan mengambil perhatian serius dalam menangani masalah penderaan, pengabaian dan buli siber terhadap kanak-kanak.

“Saya berharap agar semua pihak terutama ibu bapa dan ahli keluarga memberi perhatian yang lebih kepada kanak-kanak supaya dapat mengenalpasti sekiranya terdapat unsur eksploitasi sehingga menggugat kelestarian kesejahteraan kanak-kanak.

“Kerajaan komited untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk manipulasi, mereka harus diberikan peluang untuk mengembangkan potensi sepenuhnya supaya peluang yang cerah terbuka untuk mereka di masa depan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");