Berita Hari Ini

Kami Tidak Langgar Undang-Undang – Skuad Badar

SUNGAI PETANI: Skuad Badar mendakwa kumpulan berkenaan tidak melanggar undang-undang dalam menjalankan kegiatan mencegah kemungkaran dalam kalangan umat Islam.

Pengasasnya, Azhar Mohamad, berkata sejak dua tahun menjalankan kegiatan seperti menahan pasangan berkhalwat, pihaknya tidak pernah dipanggil atau ditahan pihak berkuasa.

“Skuad Badar diwujudkan untuk memelihara anak bangsa yang semakin hari semakin mencabar. Kami bertindak bukan melanggar undang-undang tetapi atas dasar manusia.

“Kalau kami langgar undang-undang sudah tentu ada laporan dibuat dan kami sudah lama ditahan polis. Malah setiap operasi yang dijalankan kami hebahkan di Facebook,” katanya ketika sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya, dalam kenyataannya hari ini, mendakwa pertubuhan itu melanggar undang-undang dan mendesak campur tangan pihak berkuasa bagi memastikan aktiviti mereka dihentikan.

Latheefa mendakwa, ahli Skuad Badar menyamar menjadi pihak berkuasa ketika melakukan pemeriksaan di hotel selain mendakwa mendapat keizinan pihak pengurusan masjid bagi mengganggu kehidupan peribadi individu.

Azhar berkata, beliau sedia berjumpa mana-mana pihak termasuk Latheefa sendiri bagi membincangkan isu berkenaan.

“Saya terkilan dan kecewa…saya lakukan ini demi agama dan bangsa. Tetapi ada kalangan yang beragama Islam mempertikaikan kegiatan mencegah kemungkaran ini.

“Mereka hanya tahu menulis, meluahkan perasaan di media. Mereka sanggup tengok anak bangsa mereka berzina. Kami lakukan untuk menegakkan syiar Islam, demi agama…bukan kerana wang ringgit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Rahim Jaafar, berkata pihaknya sentiasa memantau kegiatan yang dijalankan kumpulan berkenaan.

“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa laporan daripada mana-mana pihak atau individu yang didakwa menjadi mangsa kumpulan ini. Jika ada kita akan ambil tindakan,” katanya ketika dihubungi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh, berkata beliau sudah menetapkan Ahad ini bagi pertemuan bersama ahli Skuad Badar.

“Kehadiran mereka dialu-alukan, malah saya tidak menghalang mereka. Tetapi datanglah pada jam 2.30 petang di pejabat saya kerana saya mempunyai urusan di Sik pada sebelah pagi.

“Bagaimanapun, kumpulan ini enggan memberi kerjasama dan tetap mahu mengadakan himpunan pada jam 9 pagi. Janganlah nanti kerana tidak mahu terima cadangan saya, apabila mereka datang timbul pula isu kononnya EXCO tiada,” katanya pada sidang media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");