Sukan Hari Ini

“Keputusan Suresh Tepat”

KUALA LUMPUR: Pengadil Suresh Jayaraman membuat keputusan tepat membabitkan beberapa situasi kontroversi pada aksi final Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 27 Oktober lalu.

Antara keputusan tepat yang dibuat Suresh termasuk membatalkan jaringan penyamaan pemain Perak, Leandro Dos Santos pada minit ke-31 dan membenarkan kedudukan penjaga gawang, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang berada di dalam gol sebelum sepakan penalti diambil pemain Terengganu.

Perkara itu dijelaskan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh kepada media selepas mesyuarat khas jawatankuasa berkenaan, hari ini.

Berdasarkan tayangan semula video perlawanan akhir itu, Subkhiddin berkata Leandro didapati menggunakan tangannya untuk menghalang penjaga gol Terengganu, Suffian Rahman daripada mencabar bola.

“Hafizul pula dilihat memijak garisan gol ketika pemain Terengganu melakukan sepakan penalti walaupun dia berada di dalam gol sebelum sepakan dibuat.

“Perkara ini (kedudukan penjaga gawang di dalam gol) subjektif dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) juga sedang mengkaji mengenainya,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, hari ini, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Suresh menerima kecaman hebat selepas perlawanan itu dan ada yang menyifatkan jaringan Leandro harus dikira selain mendakwa Hafizul melakukan kesalahan ketika penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas tamat masa tambahan.

Subkhiddin juga terpalit dengan kontroversi itu apabila beliau turut dikecam hebat pelbagai pihak kerana memilih Suresh mengadili perlawanan akhir itu.

Malah, ada juga yang mahu bekas pengadil FIFA itu melepaskan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM dan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil.

Selain itu, Subkhiddin yang mengumumkan peletakan jawatannya selepas mesyuarat itu menjelaskan pemilihan Suresh adalah berdasarkan prestasinya sepanjang mengendalikan perlawanan Liga Malaysia (Liga M) sebelum ini.

“Saya bukan nak mempertahankan pengadil (Suresh), tapi keputusan yang betul kita perlu jelaskan yang ia betul. Jika salah kita perlu akui salah.

“Pada masa sama saya mengakui ada beberapa kelemahan yang masih perlu diperbaiki terutama daripada aspek komunikasi dan mengawal permainan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");