Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Bakal Beri Imbuhan Kepada Skuad TBG

IPOH – Kerajaan Perak bakal memberi imbuhan tambahan kepada skuad The Bos Gaurus (TBG) yang telah menjuarai Piala Malaysia pada 27 Oktober yang lalu, selepas berjaya menundukkan Terengganu FC 4-1.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selain daripada imbuhan, kerajaan negeri juga bakal memberikan dua anugerah kepada skuad bola sepak Perak yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang tempoh hari.

Katanya lagi, keputusan tersebut dibuat hasil perbincangan bersama-sama dengan Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.

“Kerajaan negeri akan menambah imbuhan dari segi kewangan yang mana akan diumumkan semasa piala tersebut dipersembahkan kehadapan Tuanku Sultan Perak.

“Hadiah berupa anugerah juga diberikan kepada para pemain kerana telah menamatkan kemarau 18 tahun dan meraih kejayaan kepada pasukan negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Draf Rancangan Struktur Negeri (DRSN) 2040 di Royal Perak Golf Club, di sini, hari ini.

Walau bagaimanapun, Ahmad Faizal tidak memberi tahu secara jelas berhubung bentuk anugerah dan nilai imbuhan yang bakal diberi kerajaan negeri kepada pasukan bola sepak Perak.

Dalam pada itu beliau berkata, PAFA juga bakal memberikan imbuhan kepada mereka yang mana ianya telah diperuntukkan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Pihak PAFA akan menggunakan wang imbuhan tersebut sebagai insentif kepada para pemain,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");