Berita Hari Ini

Kerajaan Tidak Akan Bertolak Ansur Pertahan Keharmonian Negara – PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan bertolak ansur dan akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada untuk memastikan keharmonian dan keamanan negara tidak diperlekehkan sesiapa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan amat kesal dengan kejadian rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada Isnin, serta insiden rusuhan susulan kejadian pertama.

“Di dalam kejadian jenayah, sesiapa juga yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, atau mereka yang didapati menjadi dalang atau cuba mengambil kesempatan akan berhadapan tindakan tegas berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Kerajaan tidak memandang ringan insiden seperti ini yang boleh membawa kepada masalah yang lebih besar melibatkan ketenteraman kaum,” katanya semasa membacakan usul tindakan kerajaan dalam memastikan ketenteraman dan keharmonian kaum susulan insiden itu.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak berniat untuk menghukum sesiapa secara buta-tuli, tetapi demokrasi mempunyai batasnya dan semua harus faham akan batas-batas demokrasi.

“Tidak ada sesiapa yang boleh bertindak sesuka hati melanggar undang-undang dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat dan kekecohan dalam negara.

“Hak dan kebebasan bersuara bukan bermakna seseorang boleh mengatakan apa sahaja yang bersifat provokatif terhadap sensitiviti pihak lain,” ujar beliau.

“Jika ada pihak yang melanggar undang-undang untuk kepentingan diri mereka maka Kerajaan yang mendokong prinsip rule of law (kedaulatan undang-undang).

“Kerajaan tidak akan bertolak-ansur dan akan bertindak mengikut peruntukan undang-undang yang ada untuk memastikan keharmonian dan keamanan negara tidak diperlekehkan oleh sesiapa,” tambahnya.

Kerajaan juga tidak berniat untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi jika apa yang disuarakan itu tidak benar dan mengancam ketenteraman awam, maka mereka akan diambil tindakan.

Dalam pada itu, kecederaan serius kepada anggota bomba penyelamat serta pasukan polis, kerosakan harta benda awam dan persendirian akibat tindakan perusuh yang tidak bertanggungjawab tidak boleh dipandang ringan.

“Seperti yang telah diterangkan oleh Menteri Dalam Negeri kejadian yang berlaku di kawasan kuil Sri Maha Mariamman itu adalah perbuatan jenayah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Tidak timbul sama sekali isu perkauman, mahupun pertelingkahan agama.

“Di dalam kejadian jenayah, sesiapa juga yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, atau mereka yang didapati menjadi dalang, atau cuba mengambil kesempatan akan berhadapan tindakan tegas berdasarkan undang-undang yang sedia ada,” kata beliau lagi memetik laporan Astro awani.

Perdana Menteri juga berpuas hati dan berterima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia yang telah bertindak mengawal keadaan ini daripada merebak.

“Tetapi apa sahaja tindakan yang diambil terhadap mana-mana pihak haruslah secara adil dan saksama.

“Negara kita ini sedang diterajui kerajaan yang baru sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan. Sudah tentu terdapat kepincangan yang digemari oleh pihak tertentu. Bagaimanapun ini dapat diatasi jika rakyat faham akan latar belakang kejadian dan tidak berpandu dengan khabar angin,” katanya.

Justeru, menggesa semua pihak agar tidak mengambil apa-apa tindakan atau mengeluar apa-apa kenyataan provokatif yang boleh menimbulkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak.

“Kita mahu perkara ini diserahkan kepada pihak berkuasa dan saya minta semua pihak, sama ada di dalam Dewan ini mahupun orang ramai supaya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan ataupun berkongsi apa-apa berita mengenai peristiwa itu kerana sekarang inipun sudah banyak berita palsu dan salah yang diedarkan.

“Kepada ahli politik serta pemimpin-pemimpin badan bukan kerajaan dan yang berkepentingan janganlah ada pula yang cuba menangguk di air keruh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");