Jenayah

Kes 1MDB: DoJ Diberi Tempoh 60 Hari Kemukakan Bukti, Dokumen Siasatan Roger Ng

KUALA LUMPUR: Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS) mempunyai tempoh 60 hari bagi mengemukakan dokumen serta bukti bahawa bekas Pengarah Urusan Goldman Sachs, Ng Chong Hwa, 51, atau dikenali sebagai Roger Ng terbabit jenayah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiasat pihak berkuasa itu.

Memetik laporan BH Online, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, tempoh masa itu diberikan mahkamah kepada DoJ sebelum diputuskan keperluan untuk mengekstradisi Ng ke AS.

“Penahanan Ng oleh polis pada 1 November lalu adalah berdasarkan waran tangkap dipohon DoJ terhadap siasatan 1MDB.

“Namun, keperluan untuk mengekstradisi Ng ke AS itu hanya boleh diputuskan mahkamah berdasarkan bukti serta dokumen yang perlu diberikan DoJ dalam tempoh 60 hari bermula tarikh dia (Ng) ditangkap,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Perasmian Balai Polis Sri Hartamas, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu adalah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim serta timbalannya, Datuk Zainuddin Yaacob.

Amar berkata, hanya selepas bukti itu diperoleh, barulah mahkamah akan memutuskan bila Ng akan diektradisi ke sana.

Ditanya sama ada Ng akan dibebaskan jika DoJ gagal memberikan dokumen diperlukan, beliau berkata, ia juga bergantung kepada keputusan mahkamah.

“Semua keputusan, sama ada untuk membebaskan atau mengektradisi Ng dalam tempoh 60 hari itu hanya boleh diputuskan mahkamah.

“Polis hanya menjalankan tugas berdasarkan arahan serta perintah dikeluarkan mahkamah,” katanya.

Pada 2 November lalu, BH Online melaporkan bahawa Ng akan diekstradisi ke AS bagi tujuan pendakwaan pihak berkuasa negara itu.

Ng ditahan polis pada 1 November lalu berdasarkan waran tangkap dipohon oleh kerajaan AS sebelum lelaki itu dibawa ke mahkamah sehari selepas itu bagi proses dokumentasi.

Waran tangkap dipohon AS itu dibuat selepas DoJ memfailkan pendakwaan terhadap Ng di sebuah mahkamah di New York.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");