Membawang Hari Ini

Lagu Dayang Nurfaizah Gagal Ke AJL33, Salamiah Hassan Kecewa Dengan Industri Muzik

PENYANYI Salamiah Hassan berasa kecewa apabila lagu ciptaan komposer Aubrey Suwito, Layarlah Kembali gagal ke pentas Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33).

Salamiah, 67, berpendapat bahawa lirik dan lagu tersebut disusun dengan sangat baik dan sepatutnya layak dipertandingkan di anugerah berprestij itu.

“Saya sangat kecewa apabila lagu Aubrey Suwito iaitu Layarlah Kembali gagal mara ke pentas AJL33.

“Setiap orang ada pandangan masing-masing tapi bagi saya, lagu itu bagus dan susunan muzik yang sangat baik.

“Sepatutnya kita perlu mendidik pendengar dengan lagu-lagu yang bagus. Ini bukan seperti rancangan hiburan tapi ini pertandingan lagu,” katanya kepada mStar Online.

Penyanyi yang sudah mencipta nama dalam industri selama lebih 40 tahun ini meluahkan rasa kecewa terhadap industri muzik menerusi laman sosialnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Suatu Penantian ini memberitahu tujuan dia memuat naik status tersebut bukan semata-mata untuk mencari kontroversi.

Namun, dia menyuarakan pendapatnya kerana tidak tahan melihat keadaan industri muzik sekarang.

“Saya tak suka nak mencari kontroversi atau nak popular dengan memuat naik status sebegitu. I am survivor singer dan masih lagi menerima tawaran.

“Tapi saya perlu katakan sesuatu sebab sudah lama saya mendiamkan diri melihat keadaan industri.

“Saya sedih melihat industri muzik kini yang tidak lagi mengutamakan karya yang bagus,” ujarnya.

Menerusi laporan mStar Online pada Ahad, pengarah muzik Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan lagu nyanyian Dayang Nurfaizah itu tidak terpilih disebabkan kurang nilai kormersil.

Mokhzani selaku ketua juri Semi Final Muzik-Muzik 33, berkata, lagu ciptaan Aubrey Suwito sebuah karya yang baik namun terlalu sukar untuk diterima pendengar di Malaysia.

Barisan juri turut dibarisi oleh komposer Ajai, Helen Yap, Edrie Hashim, Azmeer dan Cat Farish.

Lagu-lagu yang layak dipertandingkan di AJL33 yang bakal berlangsung pada Februari depan terdiri daripada Semakin (Siti Sarah), Bunga (Ara Johari), Kau Pun Sama (Syamel), Sampai Bila (Misha Omar), Haram (Hael & Dayang) dan Luluh (Khai Bahar).

Turut dipilih ialah Bunga (Altimet), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli ft Aman Ra), Tak Pernah Hilang (Amylia & Kaer), Hajat (Hael Husaini), Di Mata Mu (Sufian Suhaimi) dan Nisan Cinta (Siti Nordiana & Jaclyn Victor).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");