Berita Hari Ini

Loke: Menteri Pertahan Pegawai K’jaan Jika Buat Kerja Betul

Menteri pengangkutan Anthony Loke berpesan kepada semua pegawai barisan hadapan agar tidak bimbang untuk menjalankan tanggungawab ketika berdepan golongan VIP.

Katanya, dalam pentadbiran baru, sekiranya pegawai menghadapi masalah dalam menjalankan tugas yang ditetapkan, menteri pasti akan mempertahankan mereka.

“Saya difahamkan, dulu pun ada insiden seperti ini, tetapi biasalah, menteri tak ambil endah, […] perkara seperti ini memang ramai tak memberikan perhatian.

“Saya kasihankan pegawai-pegawai kita. Dalam pentadbiran baru, kalau mereka menghadapi masalah mereka ketika menjalankan tanggungjawab mengikut apa yang ditetapkan, maka menteri akan mempertahankan mereka.

“Itu mesej yang saya nak sampaikan, supaya mereka berani dan tegas dalam menjalankan tanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas sesi Taklimat Agensi Kerajaan dan majlis berkenalan bersama Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Temiang di Seremban Klana Resort, Seremban.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu presiden Dewan Negara S Vigneswaran yang didakwa melanggar protokol keselamatan dan etika pemakaian ketika masuk ke bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Loke mendedahkan perkara itu dalam satu sidang media semalam.

Tambah Loke lagi, semangat Malaysia baru menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang yang dikenakan kepada setiap orang tanpa mengira pangkat atau ada pengecualian.

“Saya sendiri sebagai menteri pengangkutan pun saya kena melalui prosedur yang sama. Ada pegawai di barisan hadapan yang bimbang apabila VIP nak datang. Mereka bimbang sebab tak tahu sama ada mereka dapat menjalankan tanggungjawab (seperti yang sepatutnya) atau pun tidak.

“Saya nak bagitahu kepada pegawai, jangan bimbang. Ikut prosedur, ikut peraturan. Kalau mereka membuat sesuatu yang betul, menteri akan mempertahankan mereka,” katanya.

Tafsiran sendiri

Vigneswaran dalam jawapannya kepada Malaysiakini menafikan tuduhan Loke terhadapnya, malah mendakwa isu itu timbul kerana kakitangan penyambut tetamu yang menghalangnya itu membuat tafsiran sendiri terhadap pekeliling etika pemakaian.

Beliau turut mendakwa bahawa usahanya bagi menghubungi Loke tidak berhasil kerana Loke sengaja tidak mahu mendengar cerita daripada pihaknya.

Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran turut menuduh Loke sengaja menggunakan “taktik murahan” dan helah politik semata-mata untuk kelihatan relevan.

Bagaimanapun, Loke menegaskan bahawa tindakannya itu bukanlah untuk mencari publisiti, malah hal itu telah pun dilaporkan kepada pihak polis untuk dilakukan siasatan.

“Saya bukan nak mencari publisiti dalam kes seperti ini. Saya setiap hari ada sidang akhbar. Macam-macam saya boleh cakap, […] saya tak memerlukan satu lagi publisiti seperti ini,” katanya.

Tambahnya lagi, soal sama ada Vigneswaran akan memohon maaf atau pun tidak, adalah bergantung sepenuhnya kepada tuan punya badan.

“Beliau (Vigneswaran) dah kata, beliau tidak tidak akan memohon maaf. Dia kata dia tak membuat apa-apa kesalahan, jadi terpulanglah kepada beliau.

“Dia tak menafikan insiden itu berlaku. Cuma dia ada versi dia, terpulanglah. Bagi saya, kita dah dedahkan, biarlah orang ramai menilainya,

“Bagi saya, meminta maaf tidak akan merendahkan martabat kita, malah akan meninggikan martabat seseorang. Tetapi terpulang,” tambahnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");