Berita Hari Ini

Malaysia Mungkin Ikut Langkah Jepun Dan Korea Selatan Berkaitan Buruh Asing

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti kemungkinan mengikut langkah Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong yang menggubal dasar berkaitan kemasukan buruh asing di negara mereka.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran menjelaskan antara kandungan dasar berkenaan ialah mewajibkan setiap buruh asing yang bekerja dalam pelbagai sektor perkhidmatan dan pengeluaran, untuk pulang ke negara asal selepas permit mereka tamat tempoh.

Katanya, di negara seperti Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan, pekerja-pekerja yang telah tamat tempoh permitnya akan diambil kembali oleh negara asal mereka.

“Itu hasrat mana-mana kerajaan, itu akujanji yang kita buat dengan kerajaan-kerajaan lain.

“Tetapi anehnya di negara kita, kita ada di mana situasi ramai di antara pekerja yang datang bekerja di sini lepas itu dia tidak pulang balik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN pada Rabu lapor Astro Awani.

Selain itu Malaysia bakal menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bangladesh, Indonesia dan Vietnam untuk kerjasama buruh yang membabitkan beberapa pindaan terhadap perjanjian dimeterai sebelum ini.

Fasa pertama MoU itu dimeterai antara Malaysia dengan Nepal pada 29 Oktober lalu, bertujuan menangani sindiket penyeludupan manusia dan eksploitasi pekerja.

Beliau berkata, inti pati baharu yang menyaksikan bayaran rekrut, tiket penerbangan dua hala, visa, pemeriksaan kesihatan dan caj levi ditanggung majikan berbanding pekerja seperti terkandung dalam MoU itu, turut selaras syarat digariskan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“MoU ini (kerjasama buruh) rata-ratanya hampir tamat, justeru kita memasuki fasa baharu yang akan dimeterai dengan negara sumber berkaitan.

“Diharap inti pati perjanjian sama berupaya dimeterai dengan Bangladesh, Vietnam dan Indonesia yang sudah mengadakan perbincangan dengan kita.

“Negara seterusnya dalam fasa rundingan ialah Filipina dan kita menggariskan sasaran sama,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kulasegaran berkata, penarafan Malaysia merosot ke ‘tahap 2 pemerhatian’ dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai Pemerdagangan Orang untuk 2018, berbanding tahap 2 pada 2015 dan 2016.

Beliau berkata, natijah buruk dalam bentuk sekatan antarabangsa bakal dikenakan terhadap Malaysia jika penarafan negara terus merosot sehingga menyaksikan penyusutan satu lagi kedudukan.

“Negara luar tidak akan dibenarkan melabur di Malaysia (sekiranya penarafan kita terus merosot) dan ini lebih berbahaya daripada isu lain,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");