KUALA LUMPUR: Skuad hoki wanita Belanda menjuarai Trofi Juara-Juara di Changzhou, China semalam manakala pasukan lelakinya pula adalah pilihan utama pada kempen Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India.
Malangnya Belanda, Jerman dan Pakistan diletakkan bersama Malaysia dalam Kumpulan D – oleh kerana kedudukan Malaysian Tigers di ranking ke-12 dunia.
Skuad kendalian Roelant Oltmans membuka kempen Piala Dunia menentang pasukan disegani Belanda yang juga juara dunia tiga kali, Sabtu ini.
Kali pertama skuad Oranje memenangi kejohanan itu ketika menjadi tuan rumah pada edisi 1973, kemudian di Pakistan pada 1990 dan yang terakhir 1998 juga di laman sendiri.
Malaysia pernah berdepan Belanda sebanyak empat kali pada Piala Dunia dengan tiga kekalahan dan sekali menang.
Pertemuan pertama berakhir dengan kekalahan 0-4 di Amstelveen pada 1973, diikuti kemenangan 2-1 di Kuala Lumpur pada 1975 – yang mana Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat.
Edisi 1978 di Buenos Aires, Belanda menang 2-1 dan 1982 di Bombay mereka turut mengatasi Malaysia 3-1.
Namun, dengan adanya sentuhan Oltmans, 64, skuad kebangsaan dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan Belanda.
“Ya, saya tahu mengenai pemain mereka dan sering mengemaskini maklumat di laman web Belanda. Saya meramalkan Belanda cukup ampuh untuk beraksi di final, selain memenangi gelaran dunia kali ini.
“Tapi itu bukan kebimbangan utama kami di peringkat kumpulan. Kami melihat peluang untuk melakar kejutan dan saya mempunyai perancangan tersendiri.
“Sudah tentu, saya tidak boleh mendedahkannya, tapi saya boleh memberitahu anda kami akan beraksi mengikut gaya dan acuan kami sendiri dan biarkan mereka bimbang dengan cara permainan mereka sendiri,” kata Oltmans.
Berdasarkan rekod pertemuan di luar pertandingan Piala Dunia menyaksikan Belanda berdepan masalah untuk menewaskan Malaysia selepas mengambil kira kemenangan 2-0 pada Piala Sultan Azlan Shah 1996 dan pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Trofi Juara-Juara 2007 yang mana Belanda menang 3-1.
Bagaimanapun, Malaysia perlu berhati-hati dengan kelibat pemain tengah Belanda, Billy Bakker dan Robbert Kemperman, selain penyerangnya Mirco Pruijser, Jeroen Hertzberger serta pakar pukulan sudut penalti Mink van der Weerden yang mampu mengubah situasi perlawanan.-BH