Sukan Hari Ini

Malaysian Tigers Sudah Bersedia

Skuad hoki negara mendapat banyak manfaat daripada tiga siri persahabatan antarabangsa menentang New Zealand sebagai persediaan terakhir menjelang kempen Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India bermula Rabu hingga 16 Disember ini.

Tiga aksi pemanas badan menentang pasukan No. 9 dunia itu berjaya memperlihatkan beberapa kelemahan yang dapat diperbaiki oleh skuad negara sebelum bertolak ke India menghadapi pentas berprestij dunia tersebut.

Malaysian Tigers, No. 12 dunia, tewas dua aksi pertama pemanas badan, 1-2 dan 3-4 kepada gergasi benua Ocenia itu sebelum merakam kemenangan bergaya 4-2 dalam perlawanan terakhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur Khamis lalu.

Ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans gembira dengan peningkatan ditunjukkan barisan pemainnya dalam setiap perlawanan menentang The Black Sticks.

“Para pemain menunjukkan petanda positif kerana kami mampu memberikan tentangan kepada pasukan hebat seperti New Zealand. Banyak peningkatan ditunjukkan sepanjang tiga siri perlawanan ini terutama dalam aspek kecergasan fizikal.

“Secara keseluruhan saya amat berpuas hati kerana matlamat untuk memperlihatkan kemajuan dalam setiap perlawanan berjaya dicapai yang menyaksikan kami menang hari ini (Khamis).

“Kami bersaing dengan bagus dan dapat mengekalkan struktur permainan, selain mencipta banyak peluang hingga berjaya menjaringkan empat gol ke atas pasukan seperti New Zealand,” katanya.

Jentera serangan me­nunjukkan peningkatan ketara dalam tiga perlawanan tersebut kerana empat daripada enam penyerang skuad negara berjaya menghasilkan gol.

Faizal Saari berjaya meledak tiga gol selain masing-masing satu daripada Muhammad Firhan Ashari, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Dua lagi penyerang yang dibawa ke India, Norsyafiq Sumantri dan Muhamad Ramadan Rosli gagal menghasilkan gol, tetapi mereka berjaya memainkan peranan penting dengan mencipta ba­nyak peluang selain mendapatkan pukulan sudut penalti.

Pakar flick utama Malaysian Tigers, Muhammad Razie Abd. Rahim juga sudah berjaya mendapatkan semula ketajamannya menerusi pukulan sudut penalti menerusi satu gol sewaktu menewaskan New Zealand 4-2 pada Khamis lalu.

Kapten skuad negara, Mohammad Sukri Abdul Mutalib juga mengakui dia dan rakan-rakan sepasukannya menunjukkan banyak peningkatan, sekali gus optimis mampu melepasi sasaran kelompok 10 terbaik pada Piala Dunia 2018.

“Satu persiapan yang baik kerana dapat bermain aksi persahabatan berkua­liti tinggi dengan New Zealand sebelum ke Piala Dunia 2018.

“Kami bermain lebih berdisiplin terutama dari segi cara bertahan sebagai satu pasukan dan sedikit penambahbaikan pada bahagian pertahanan yang membolehkan kami memperoleh kemenangan hari ini (Khamis lalu).

“Semua pemain sudah bersedia dan tidak sabar untuk menghadapi saingan Piala Dunia 2018. Saya harap apa yang kami dapat sepanjang tiga siri perlawanan ini dapat membantu dalam usaha merea­lisasikan sasaran di sana nanti,” jelasnya.

Malaysian Tigers diundi dalam ‘kumpulan maut’ iaitu Kumpulan D bersama naib juara edisi empat tahun lalu, Belanda (No. 4 dunia), Jerman (No. 6 dunia) dan Pakistan (No. 13 dunia)

18 pemain dan barisan kejurulatihan skuad negara akan berlepas ke Bhubaneswar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 malam ini lapor K! Online.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");