IPOH: Atas sikap prihatin yang berterusan umat Islam di Perak terhadap mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia, Tabung Bencana dan Kemanusiaan yang diselaraskan Masjid Negeri Masjid Sultan Idris Shah II, berjaya mengutip wang sumbangan berjumlah RM49,252.
Imam Besar Masjid Negeri, Abd Farid Salleh yang mewakili Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, berkata sumbangan tersebut merupakan sumbangan susulan yang dilancarkan di masjid dan surau di seluruh negeri pada bulan lalu.
Katanya, sebelum ini, sejumlah RM46,330 sumbangan telah berjaya dikutip dan diserahkan kepada Aman Palestin Perak.
Tambahnya lagi, jika jumlah tersebut ditambah dengan angka kutipan sumbangan pada hari ini, ia telah menjadikan nilai keluruhan sumbangan kepada lebih daripada RM95,000.
“Kita amat berterima kasih kepada Aman Palestin kerana menjadi rakan kepada JAIPk dalam menyalurkan sumbangan terhadap bencana-bencana, daripada masjid seluruh Perak.
“Kita pun sudah beberapa kali menyalurkan sumbangan kepada Aman Palestin dan ini adalah suatu tugas dan amanah yang mencabar yang dilakukan Aman Palestin,” katanya.
Selain itu, beliau juga berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung isu penyelewegan sumbangan membabitkan tabung berkenaan.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media penyerahan sumbangan kepada Pengurus Aman Palestin Perak, Khairul Amin Ibrahim di Pejabat Imam Besar Masjid Sultan Idris Shah II, di sini, hari ini.
Sementara itu, Khairul berkata, sehingga kini, pihaknya telah menghantar tiga misi bantuan ke Lombok dan empat ke Palu, Sulawesi.
Ujarnya, nilai sumbangan yang disalurkan kepada misi bantuan ke lombok berjumlah sekitar RM130,000 dan RM168,000 ke Palu.
“Di Palu kita dapat menyalurkan bantuan kepada lebih kurang 3,000 keluarga. Bentuk bantuan pual ialah makanan asas.
“Bagi di Lombok pula, selain bantuan-bantuan makanan asas, kita juga telah berjaya membina tandas, rumah-rumah penempatan sementara dan sekolah sementara dalam bentuk khemah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai untuk turut menyalurkan sumbangan untuk disalurkan kepada pelarian-pelarian di Palestin dan Syria yang sedang menghadapi musim sejuk.
Katanya lagi, sumbangan turut boleh dibuat menerusi aplikasi ‘Jom Menyumbang’ oleh Aman Palestin