Berita Hari Ini

Maszlee Akan Lepaskan Jawatan Presiden UIAM

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, pada Isnin, mengumumkan untuk melepaskan jawatan Presiden UIAM sebaik selepas istiadat konvokesyen UIAM berakhir dan proses pelantikan penggantinya selesai.

Memetik laporan BH Online, beliau, dalam paparan di laman Facebook rasminya pada jam 9.27 malam tadi berkata, beliau menghormati keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinet berhubung isu jawatan Presiden.

Pada masa yang sama, beliau juga menghormati kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai perkara itu.

“Sebenarnya saya sudah pun memutuskan untuk melepaskan jawatan Presiden UIAM iaitu sebaik selepas istiadat konvokesyen UIAM berakhir dan proses pelantikan pengganti saya selesai.

“Saya percaya proses pelantikan pengganti akan selesai akhir November 2018,” katanya.

Semalam di Putrajaya, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, menasihatkan Maszlee supaya segera melepaskan jawatan Presiden UIAM dan mencari pengganti yang bersesuaian untuk jawatan berkenaan.

Muhyiddin dipetik berkata, mesyuarat Kabinet sudah memutuskan dengan jelas mengenai perkara itu.

Sabtu lalu, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dari BERSATU, enggan mengulas mengenai desas-desus beliau akan melepaskan jawatan Presiden UIAM dengan memaklumkan perkara berkenaan akan dijawab dalam sidang akhbar lain dan bukannya semasa majlis konvokesyen UIAM.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");