Berita Hari Ini

Maszlee Nak Jumpa Adam Adli

Mungkin akan ada perkembangan baru berhubung isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional seawal Isnin depan.

Ia ekoran pertemuan yang dirancang diadakan di antara Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan aktivis siswa Adam Adli Abdul Halim.

Kedua-dua pihak mengesahkan pertemuan tersebut akan dijalankan pada 12 Nov ini.

Maszlee yang dipetik Sinar Online memberitahu Kementerian Pendidikan mengamalkan dasar terbuka untuk memberi ruang kepada pelbagai pihak untuk mencari penyelesaian bagi semua isu demi negara.

“Sebagai menteri saya bersifat terbuka menerima pandangan khususnya daripada aktivis pelajar seperti Adam Adli yang sudah lama berjuang menuntut keadilan sistem daripada kerajaan sebelum ini,” katanya.

Pada 6 Nov lalu Adam Adli dipetik sebagai berkata kerajaan wajar mengkaji semula ketetapan untuk membuat pemotongan berjadual antara dua hingga 15 peratus bagi peminjam PTPTN yang bergaji lebih RM1,000 sebulan.

Adam Adli yang aktif memperjuangkan isu-isu siswa sejak bertahun-tahun lalu juga mempersoalkan kesediaan PTPTN menerika bayaran balik pinjaman sebanyak RM20 sebulan melalui kaedah yang diumumkan kerajaan itu.

“Saya harap kerajaan kaji semula dan dengar tuntutan yang berbeza,” katanya seperti dilaporkan Sinar Online.

Maszlee berkata tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan termasuk isu PTPTN dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Sementara itu Adam Adli berkata pertemuan tersebut tidak hanya akan membincangkan kemelut PTPTN malah turut melibatkan isu lain yang dirasakan perlu.

Pertemuan berkenaan lapor portal tersebut diadakan hasil inisiatif Maszlee sendiri.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");