Perak Hari Ini

MB Perak Yakin Kewangan Negeri Mampu Capai Surplus

IPOH: Kerajaan Perak yakin kedudukan kewangan negeri pada penghujung tahun ini bakal merekodkan lebihan ataupun surplus.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, menerusi langkah dan usaha kerajaan negeri dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah terhadap kewangan negeri, perkara tersebut mampu dicapai.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga sedang menjalankan usaha mengukuhkan kedudukan kewangan negeri selain mencari sumber-sumber kewangan yang lain yang tidak hanya tertumpu kepada hasil pembalakan.

“Kita sedang mencari dan meneroka hasil kewangan negeri yang baharu. Contohnya, menerusi caj air bawah tanah dan pembinaan menara-menara telekomunikasi.

“Kerajaan negeri juga tidak mahu hanya bergantung kepada hasil hutan dan pembalakan sahaja dan oleh itu, kita telah kenal pasti sumber kewangan baharu antaranya caj kepada laluan talian rintis yang melalui hutan-hutan simpan kita.

“Walau bagaimanapun, perlaksanaannya akan mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan isu perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Saarani Mohamad (Barisan Nasional – Kota Tampan) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Selain itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berkata, kerajaan negeri kini sedang berusaha untuk mendapatkan semula bayaran tunggakan daripada kerajaan persekutuan yang dijangka akan selesai pada penghujung tahun ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada Dr Ko Chung Sen (Pakatan Harapan – Kepayang) , beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang melakukan audit forensik terhadap syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mengesan punca kerugian yang dihadapi mereka.

“Kita juga kini sedang meneliti perjanjian yang telah dibuat pentadbiran sebelum ini, agar kepentingan kerajaan akan lebih terjaga.

“Pada pandangan saya, sama ada ‘shortfall’ itu berlaku disebabkan salah laku atau penyelewengan itu kita akan siasat dan jika terbukti ia benar, kita akan ambil tindakan lanjut,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");