Berita Hari Ini

MP PH Persoal Mengapa Menteri Tak Pergi Sendiri Ke Kuil

Masuk hari ke dua rusuhan di Kuil Sri Mariamman Seafield di Subang Jaya, Anggota Parlimen Kampar Thomas Su berkata para menteri sepatutnya berusaha meredakan keadaan sejak dari awal lagi.

Anggota parlimen PH itu berkata menteri telah gagal turun sendiri ke tempat kejadian dan itu memberikan persepsi kerajaan lambat bertindak.

“Setakat ini mereka hanya beri kenyataan. Semalam timbalan menteri dalam negeri ada di sana. Persepsi orang awam adalah kita lambat menangani perkara ini,” kata Su ketika ditemui di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata menerima rungutan daripada orang ramai tentang reaksi lambat kerajaan dalam isu ini.

Setakat ini, satu-satunya menteri yang melawat kuil itu adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin tengah hari tadi.

Semalam, lima menteri dalam sidang media mengecam keganasan berlaku dan menegur polis kerana pada awalnya mendakwa ia melibatkan “dua kumpulan bangsa India”.

Kata Su lagi, anggota kabinet perlu dilihat turun padang untuk menangani isu ini dan berhubung dengan pihak kuil.

“Sekarang, keadaan telah melarat dan seorang anggota penyelamat cedera parah. Orang mempersoal mengapa kita tidak bertindak pantas,” katanya lagi.

Rusuhan tercetus selepas kuil lama itu diserang sekumpulan samseng pada pagi Isnin.

Semalam, ribuan berhimpun di situ dan rusuhan tercetus apabila kenderaan dibakar dan pejabat One City Development Sdn Bhd – pemilik tanah di situ – diserang.

Seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah selepas diserang perusuh. Beliau kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Setakat ini polis telah menahan 21 individu.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");