KUALA LUMPUR – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berhak mengambil sebarang tindakan ke atas ahli perniagaan dikehendaki, Jho Low.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak enggan mengulas lanjut berhubung perkembangan terbaharu itu.
“Itu tindakan DOJ mereka berhak ambil apa-apa tindakan. Saya tak ada apa-apa komen sebab itu tindakan undang-undang.
“Saya dah katakan bahawa semua orang tertakluk kepada undang-undang,” katanya kepada pemberita di Dewan Rakyat, pada Jumaat, lapor Sinar Online.
Khamis lalu, DOJ memaklumkan Jho Low dan Roger Ng didakwa di Mahkamah Persekutuan di Timur New York, atas konspirasi jenayah mencuri jutaan wang daripada 1MDB.
DOJ dalam kenyataan berkata Jho Low dan Ng turut didakwa kerana melanggar Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) dengan membayar kepada ‘orang ketiga’ dalam kerajaan Malaysia dan Abu Dhabi.
Mahkamah Persekutuan turut mendakwa bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner, atas pelbagai tuduhan jenayah berkaitan skandal 1MDB.
Perkembangan terbaharu, Jho Low kekal dengan pengakuan tidak bersalah dalam kes tersebut melalui kenyataan wakilnya.