Berita Hari Ini

Najib Boleh Dikenakan Perintah Menghina Mahkamah – Peguam

 

KUALA LUMPUR: Keengganan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk masuk ke kandang tertuduh pada prosiding sebutan kes salah guna jawatan dan aktiviti pengubahan wang haram dihadapinya, boleh menyebabkan beliau dikenakan perintah menghina mahkamah.

Peguam Fahmi Abdul Moin berkata, jika hakim yang mendengar kes itu mengarahkan Najib berada di dalam kandang tertuduh dan beliau enggan berbuat demikian, maka ia boleh membawa kepada tindakan menghina mahkamah.

Fahmi yang juga bekas Timbalan Pendakwa Raya, berkata oleh itu hakim boleh menggunakan budi bicara beliau untuk menegur atau mengenakan denda atau memerintahkan tertuduh dipenjarakan atas tindakan itu.

Peguam itu berkata, pada asasnya mana-mana tertuduh dikehendaki berada di dalam kandang tertuduh tanpa mengira status atau kedudukan.

“Sekiranya tertuduh enggan duduk di dalam kandang tertuduh, maka hakim atau majistret seharusnya menggunakan kuasa mereka untuk mengarahkan tertuduh berada di tempatnya (kandang tertuduh).

“Tiada peruntukan spesifik di dalam Kanun Acara Jenayah bahawa tertuduh harus duduk dalam kandang tertuduh tetapi ia proses yang dihormati dalam mana-mana mahkamah di dunia iaitu mereka harus duduk di dalam kandang dalam apa juga proses sama ada untuk pengurusan kes, sebutan atau pada perbicaraan.

“Di dalam kes ini, walaupun alasan ia hanya sebutan kes, tetapi keengganan beliau (Najib) duduk di dalam kandang adalah satu kelakuan menghina mahkamah dan tidak menghormati institusi Kehakiman,” katanya.

Pada prosiding sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen semalam, Najib enggan memasuki kandang tertuduh walaupun sudah diminta polis untuk berbuat demikian.

Beliau hanya duduk di kerusi bersebelahan kandang tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, kemudian meminta Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, memaklumkan kepada polis supaya meminta Najib untuk memasuki kandang tertuduh apabila prosiding bermula.

Seorang anggota polis mahkamah sehubungan itu meminta Najib masuk ke dalam kandang, bagaimanapun beliau masih enggan dan tetap berada di luar kandang sehingga prosiding sebutan kes berakhir.

Prosiding semalam adalah sebutan semula kes berhubung 25 tuduhan salah guna kedudukan dan aktiviti pengubahan wang haram berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad.

Pada 20 September lalu, Najib didakwa atas empat tuduhan iaitu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah bagi dirinya sendiri.

Beliau didakwa menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2,282,937,678.41 menerusi beberapa transaksi, di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Bagi 21 tuduhan lagi, Najib didakwa membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");