Perak Hari Ini

PAC Perak Kecewa Tindakan Dua Ahli Tidak Hadir

IPOH: Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak, melahirkan rasa kekesalan terhadap tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Adun Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim yang bertindak tidak hadir pada sesi pendengaran awam pagi tadi.

Pengerusinya, Leong Cheok Keng berkata, sebagai ahli jawatankuasa PAC yang dilantik Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka seharusnya bersikap lebih profesional.

Katanya, Aznel tidak menyatakan sebarang sebab terhadap ketidakhadirannya manakala Mohd Khusairi pula hanya memberitahu yang beliau tidak akan hadir kepada sesi tersebut menerusi ‘whatsapp group’, lewat semalam.

Ujar Cheok Keng, Mohd Khusairi bertindak demikian kerana senada dengan mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, yang membantah tindakan ahli jawatankuasa yang mengadakan sesi pendengaran secara awam.

“Keputusan sesi pendengaran tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat yang lalu yang mana mereka berdua turut hadir. Sebagaimana kabinet, kita buat keputusan secara kolektif.

“Sama ada mereka setuju atau tidak terhadap keputusan tersebut, mereka harus akur,” katanya ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Cheok Keng sekali lagi menggesa agar Mohd Khusairi dan Aznel dapat mempamerkan sikap yang lebih profesional pada masa akan datang dan sekiranya tidak, beliau tidak menolak kemungkinan dua ADUN tersebut bakal berdepan dengan tindakan.

Terdahulu, sesi pendengaran awam PAC berhubung isu-isu yang berkaitan dengan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), tidak dapat diteruskan apabila Zambry bertindak keluar selepas 30 minit, sebagai tanda protes terhadap sesi tersebut yang dijalankan secara awam.

Zambry yang hadir bersama-sama bekas Pegawai Eksekutif MB Inc Datuk Aminuddin Hashim pagi tadi menyatakan bantahan beliau kepada pengerusi PAC Perak dengan mengatakan proses sesi pendengaran tersebut adalah salah dari sudut amalan demokrasi di negara ini.

Cheok Keng, dalam sidang media yang sama berkata sesi pendengaran PAC yang dijalankan secara awam tidak melanggar mana-mana peraturan malah katanya, dalam Perintah Tetap DUN tidak menyatakan secara jelas sama ada melarang ia dijalankan secara awam atau sebaliknya.

“Menurut Perintah Tetap, ia dinyatakan ‘silence’ ataupun senyap. Tidak dinyatakan pendengaran boleh dijalankan secara awam ataupun tidak.

“Oleh yang demikian, jawatankuasa PAC boleh menyusun prosedurnya sendiri. Selepas bermesyuarat, kita putuskan untuk memegang prinsip ketelusan kepada rakyat.

“Ia juga turut diamalkan di mana-mana dewan yang mengamalkan Sistem Westminster,” jelasnya.

Tambahnya, Zambry akan dirujuk kepada DUN dan Speaker DUN untuk tindakan lanjut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");