Panasnya Hari Ini

Pemuda BERSATU Akur Keputusan Pimpinan Tertinggi

MUAR: Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan membantah dan akur dengan keputusan pimpinan tertinggi parti dalam menentukan jawatan bagi anggota UMNO yang melompat parti untuk menyertai Bersatu.

Ketua Armada (Sayap Pemuda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, di pihak pemuda mereka tidak akan campur tangan, dan akan menghormati setiap keputusan yang ditentukan oleh pengerusi serta presiden parti berkenaan status bekas anggota UMNO dalam BERSATU.

Bagaimanapun, pihaknya mengalu-alukan mana-mana anggota atau pemimpin UMNO yang berhasrat menyertai Bersatu, tanpa mengira peringkat umur, jawatan dan sebagainya, termasuk Pemuda UMNO.

“Kami di peringkat Pemuda bersetuju dengan keputusan yang dilakukan (pengerusi dan presiden) yang tidak memberikan jawatan tertinggi kepada bekas pemimpin UMNO walaupun mereka mempunyai jawatan tertentu dalam parti terdahulu.

“Diharap mereka ini (bekas pemimpin UMNO) faham yang mereka ini ahli baharu untuk Bersatu dan sekiranya mahukan jawatan, perlulah mengikut saluran yang betul sebagaimana ahli yang lain,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pameran Dunia Kesenian dan Keusahawanan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa 1B, di sini, hari ini.

Bulan lepas, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Datuk Seri Mustapa Mohamed yang meninggalkan UMNO pada September menyertai Bersatu. Bekas anggota majlis tertinggi UMNO itu tidak dijanjikan apa-apa jawatan oleh Bersatu dan diterima sebagai anggota biasa sahaja.

Syed Saddiq, yang juga Menteri Belia dan Sukan, berkata Pemuda BERSATU mengharapkan anggota parti Bersatu akan terus bertambah dan dengan kepercayaan yang semakin diberikan oleh rakyat maka parti itu akan semakin kuat.

Sementara itu, mengenai pameran berkenaan, beliau kagum dengan kebolehan pelajar SJKC Chung Hwa 1B yang mampu menghasilkan hasil kesenian yang cantik walaupun mereka baru berumur tujuh atau lapan tahun.

Menurut Syed Saddiq, begitu juga dengan penglibatan pelajar yang berumur seawal 10 tahun yang telah didedahkan dengan ilmu pengetahuan berkaitan dengan bidang keusahawanan, sekali gus menanam minat mereka untuk berniaga.

“Saya berharap aktiviti sihat seperti kesenian dan juga keusahawanan ini akan dapat diteruskan di masa akan datang agar dapat melahirkan satu kelompok pewaris yang baik serta tidak membuang masa,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");