Berita Hari Ini

Penerbit Jumpa Selepas Penggambaran Selesai – Mufti Perlis

KANGAR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mendakwa pihak penerbitan filem kontroversi Polis Evo 2 hanya menemuinya selepas penggambaran selesai.

Mohd Asri berkata, Penerbit Eksekutif Polis Evo 2, Datuk Khairul Anwar Salleh, menemuinya dua hari lalu bagi mendapatkan pandangan dan tiada pertemuan dibuat sebelum penggambaran dilakukan.

Katanya, beliau bimbang sekiranya ada pihak salah faham dengan kenyataan Khairul Anwar bahawa pihak produksi sudah bertemunya bagi mendapatkan nasihat mengenai pembikinan filem itu.

“Sebenarnya, pihak penerbit baru saja berjumpa saya dua hari lepas, bukan sebelum penerbitan dan ketika itu saya sudah memberi beberapa pandangan umum sesudah melihat trailer filem berkenaan.

“Antara ulasan saya ialah trailer filem ini memberikan mesej yang kurang baik tentang imej umat Islam, namun saya tidak tahu isi kandungan filem yang sebenarnya,” katanya menerusi status Facebook hari ini, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Khairul Anwar sebelum ini memaklumkan pihaknya sudah mendapatkan nasihat Mohd Asri dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berhubung isu sensitiviti berkaitan Islam dalam filem berkenaan.

Khairul Anwar dipetik sebagai berkata, filem aksi itu tidak mempunyai unsur memburukkan imej Islam, malah mengambil kira pendapat dan nasihat daripada golongan ulama.

Mengulas lanjut Mohd Asri berkata, beliau tidak dapat memberikan gambaran keseluruhan kerana belum menonton filem berkenaan.

“Ketika dunia musuh menggambarkan umat Islam sebagai pengganas, tidak wajar kita membantu mereka mengukuhkan lagi agenda itu dan realitinya di Malaysia, ekstremis belum sampai ke peringkat seperti yang digambarkan dalam trailer itu.

“Saya rasa tiada keperluan nak digambarkan seperti itu kerana kita bukan di kawasan Daesh atau ISIS. Saya bimbang ia memberikan gambaran salah tentang Malaysia yang harmoni dengan menukar kerajaan tanpa menumpahkan setitis darah pun,” katanya.

Mohd Asri berkata, beliau mempersoalkan jika watak jahat atau pengganas dalam filem berkenaan yang mewakili ajaran sesat atas nama Islam.

“Jika dapat ditonjolkan ajaran Islam sebenar yang harmoni, maka itu dapat menjaga nama Islam, andai sebaliknya dan setakat pertarungan dengan pihak berkuasa sahaja, itu akan memberi mesej salah kepada penonton khususnya bukan Muslim.

“Tidakkah nanti mereka (bukan Muslim) akan menyatakan Muslim sendiri akui mereka pengganas?” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");