Perak Hari Ini

Perak Bentang Belanjawan RM1.061 Bilion

IPOH: Kerajaan negeri membentangkan Belanjawan Perak 2019 berjumlah RM1.061 bilion yang bertemakan ‘Bersama Memacu Harapan’ dengan berlandaskan lima fokus utama.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, fokus tersebut ialah mengukuhkan ekonomi dan kelestarian sumber negeri; memacu kesejahteraan dan ekonomi rakyat; menggerakkan revolusi industri 4.0; meluaskan jaringan strategik pembangunan negeri; serta memastikan perbelanjaan mengikut keperluan.

Ujarnya, daripada jumlah keseluruhan belanjawan tersebut, sebanyak RM1.171 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan keseluruhan, RM7.771 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM400 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Pembentangan belanjawan sulung Pakatan Harapan (PH) Perak itu turut meliputi sektor perkhidmatan, pertanian, pembuatan, pertanian, pelancongan serta kebajikan kepada rakyat secara menyeluruh.

Selain daripada itu, ujar Ahmad Faizal, walaupun peruntukan bagi pembangunan negeri berkurangan sebanyak 5 peratus berbanding tahun lalu namun, kerajaan negeri akan tetap meneruskan usaha penambahbaikan kepada pentadbiran negeri.

“Ini mampu dilakukan dengan memberi fokus kepada langkah-langkah mengurangkan ketirisan, menambah baik mekanisme perbelanjaan dan mengelakkan perbelanjaan yang dirasakan tidak perlu.

“Peruntukan pembangunan yang kurang ini tidak bermakna pembangunan turut terbantut, tetapi ia akan dibelanjakan mengikut keutamaan dan keperluan demi memastikan agenda pembangunan, fokus yang ditetapkan, aspirasi yang dibangunkan dapat dicapai,” katanya.

Jelasnya lagi, perbelanjaan negeri akan dibelanjakan mengikut keperluan yang sebenarnya dan bukan semata-mata mengikut kehendak.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Perak 2019, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, menerusi inisiatif amalan berjimat-cermat kerajaan negeri, sehingga 15 November 2018, rizab dan tunai negeri berjaya mencecah RM1.169 juta yang mana ia melibatkan peningkatan sebanyak RM125 juta berbanding tahun lalu.

Terdahulu, semasa membentangkan belanjawan tersebut, Menteri Besar turut mengumumkan bantuan sebanyak RM4.15 juta kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), RM5 juta untuk Program Bantuan Pinjaman Tabung Usahawan serta RM0.72 juta bagi Program Penggalakan Usahawan menjelang 2019.

Kerajaan negeri juga bakal menubuhkan Perbadanan Sukan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM1 juta bagi kawalan dan penyelenggaraan aset-aset sukan secara berpusat.

Peruntukan Bantuan Dermasiswa Pendidikan Perak juga dinaikkan RM500,000 menjadikan jumlah peruntukan adalah RM12 juta.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");