Perak Hari Ini

PH Perak Perlu Sedia Hadapi ‘Risiko’, Kata Saarani

IPOH: UMNO Perak menegaskan beliau tidak berasa gentar terhadap tindakan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Negeri, V. Sivakumar yang membuat laporan polis berhubung dakwaan yang mengatakan terdapat usaha mahu menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, kepimpinan PH Perak harus bersedia sekiranya polis mendapati kenyataan beliau sebelum ini adalah benar.

“Saya cuma nak mengingatkan kepada mereka, apabila sudah buat laporan polis, mereka perlu bersedia menanggung risiko. Dia ada sebutkan hal perundangan.

“Jadi, janganlah apabila mereka keluar kenyataan tersebut itu, seolah-olah nak mengugut saya dan rakan-rakan pembangkang untuk minta kami berhenti dalam isu ini.

“Tidak sama sekali dan kami tidak takut. Apa yang disebutkan itu, berasaskan pada peristiwa benar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Saarani yang juga ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berkata, individu yang didakwa bertaraf Exco kerajaan negeri yang dikatakan mahu menjatuhkan Menteri Besar itu telah menghubungi salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, semalam, untuk tetap mahu meneruskan agendanya.

Ketika ditanya pemberita tentang medium dan cara individu tersebut mendekati ADUN UMNO tersebut, Saarani enggan mengulas lanjut.

Selain itu ujarnya lagi, tindakan beliau mendedahkan perkara tersebut adalah sebagai tanda supaya individu tersebut menghentikan niatnya namun, ianya tidak berlaku.

“Apa yang kita harapkan dalam peringkat ini, dia berhenti. Tetapi nampaknya, dia tetap mahu meneruskan juga hasratnya.

“PH jangan menuding jari kata ini ‘kerja’ kami. Kita buat ini bertujuan mahukan pentadbiran negeri ini ditadbir dengan baik,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");