IPOH:Kerajaan Negeri menyambut baik komitmen kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai untuk merealisasikan potensi sebenar pulau peranginan itu sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia menerusi pembentangan Belanjawan 2019 petang semalam.
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata langkah Kerajaan Persekutuan melaksanakan perkongsian 50 peratus hasil kutipan bagi cukai pelancongan yang diterima di setiap negeri adalah satu tindakan terbaik untuk membantu meningkatkan hasil kerajaan negeri.
“Pengenalan geran sepadan RM100 juta akan disediakan kepada syarikat swasta bagi program promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa juga amat dialu-alukan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Katanya lagi, Kerajaan negeri Perak juga amat menyambut baik cadangan kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan Amanah Pelaburan Hartanah bagi Lapangan Terbang atau Airport Real Estate Investment Trust (REIT).
Jelas Faizal cadangan yang pertama seumpamanya di dunia itu sangat baik susulan cadangan kerajaan negeri untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa di Perak serta menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah untuk menarik kehadiran lebih banyak pelancong dari dalam dan luar negara, seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
“Langkah kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM30 juta untuk Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) bagi menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa di Malaysia juga adalah sesuatu yang sangat dinantikan, kerana ia bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Perak sebagai destinasi utama perfileman tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Tambahnya lagi pembentangan Belanjawan 2019 sebagai manifestasi kepada pendekatan inovatif kerajaan baharu Pakatan Harapan untuk Malaysia kekal kompetitif.
“Belanjawan sulung kerajaan baharu ini adalah langkah terbaik untuk menggerakkan usaha menunaikan ikrar Pakatan Harapan untuk memulihkan kembali imej Malaysia di mata dunia yang tercalar akibat amalan kleptrokasi pentadbiran terdahulu selain memacu pertumbuhan ekonomi negara dan melaksanakan keadilan sosial kepada rakyat, terutama golongan yang memerlukan.
“Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan hari ini telah membentangkan Belanjawan 2019 yang menumpukan kepada 3 Fokus dengan 12 Strategi utama dengan tema “Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera”.
“Saya menyambut baik iltizam kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia dengan melaksanakan reformasi institusi dan memupuk budaya negara keusahawanan, serta memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Katanya langkah menambah baik kecekapan dan keberkesanan SST mulai Januari 2019 bagi memastikan sistem percukaian yang lebih progresif dan berkesan adalah tindakan positif bagi memastikan hasil kerajaan terus mampan, susulan pemansuhan cukai GST yang telah membebankan rakyat keseluruhan, khususnya golongan berpendapatan rendah.
“Kerajaan Pakatan Harapan juga membuktikan komitmen untuk membela nasib golongan sasar dengan menambahbaik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada kumpulan B40 mulai Januari 2019, dengan bantuan diberikan secara lebih bersasar, bergantung kepada saiz isi rumah.
“Pendekatan itu amat baik kerana ia adalah agihan yang lebih adil dalam meringankan beban golongan yang benar-benar memerlukan serta keluarga yang mempunyai anak-anak dari golongan Orang Kurang Upaya.
“Pengenalan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40 adalah salah satu langkah yang sangat baik bagi memenuhi impian rakyat untuk menikmati keadilan sosial yang sebenar,” katanya.
Tambahnya Belanjawan 2019 juga sekaligus menepis tuduhan bahawa nasib penjawat awam seluruh negara akan terjejas sekiranya Pakatan Harapan memerintah menerusi kenaikan gaji minima, penambahbaikan kebajikan, skim pinjaman perumahan yang lebih baik serta pesara kerajaan turut mendapat faedah daripada Belanjawan 2019.
“Bagi kerajaan negeri Perak, kita amat mengalu-alukan keprihatinan kerajaan Persekutuan untuk menunaikan impian rakyat untuk memiliki rumah pertama dengan menyediakan dana berjumlah RM1 bilion untuk membantu golongan berpendapatan tidak lebih daripada RM2,300 sebulan memiliki rumah buat kali pertama.
“Kerajaan negeri juga amat menyokong langkah proaktif kerajaan Persekutuan untuk membangunkan sektor pelancongan selari dengan tumpuan kerajaan negeri untuk memacu sektor pelancongan di Perak.
“Selain itu, peruntukan RM10 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk membangun dan menggalakkan E-Sports amat bertepatan dengan sasaran kerajaan negeri untuk muncul sebagai peneraju E-Sports negara. Ini sekaligus akan membantu kerajaan negeri untuk mencungkil bakat-bakat baru E-Sports, tetapi juga menggalakkan generasi muda untuk menceburi bidang keusahawanan dalam E-Sports,” katanya.