Jenayah

Suami Mengaku Bunuh Isteri

GEORGETOWN: Seorang guru disiplin menyerah diri selepas mengaku membunuh isterinya dalam satu pertengkaran di sebuah pangsapuri di Air Itam di sini, hari ini.

Suspek berusia 42 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, Kedah selepas membuat laporan berhubung kejadian terbabit, pada jam 4 petang tadi, sebelum kes berkenaan dipindahkan ke Georgetown di sini, kira-kira jam 6 petang.

Ketua Polis Daerah Timur, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata hasil siasatan awal mendapati suspek dan mangsa, T Santi, 39, bertengkar, sebelum suspek memukul kepala isterinya, pada jam 10 malam, semalam.

“Pertengkaran berlaku di dalam bilik ketika suspek terjaga dari tidur. Suspek kemudian mengambil penyidai baju dan memukul kepala mangsa yang berasal dari Karangan, Kedah.

“Suspek bertindak keluar dari rumah dan pulang ke kampungnya di Kulim, Kedah, pada jam 11 malam, semalam. Dia kemudian kembali ke rumah sewanya dan mendapati isterinya masih tidak sedarkan diri, pada jam 11 pagi tadi.

“Dia memaklumkan kejadian itu kepada keluarganya dan diarahkan untuk membuat laporan polis, sebelum berbuat demikian di IPD Kulim, Kedah,” katanya menerusi kenyataan di sini, sebentar tadi.

Berdasarkan maklumat itu, katanya, suspek dibawa ke rumah sewanya dan pemeriksaan polis menemui mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di dalam bilik tidur lapor NSTP.

“Mangsa mengalami pendarahan di bahagian kanan kepala, kedua-dua kening dan telinga kirinya akibat hentakan daripada objek tumpul.

“Mereka sudah 10 tahun berkahwin dan tidak mempunyai anak dan bedah siasat ke atas mangsa akan dibuat di Hospital Pulau Pinang (HPP), pada jam 10 pagi esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");