Perak Hari Ini

Sultan Nazrin, Tuanku Zara Sertai Larian Hari Keputeraan

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, pagi tadi berkenan berangkat menyertai acara Larian Hari Keputeraan Sultan Perak di Dataran Pavillion di sini.

Turut menyertai larian, Raja Kecil Besar, Raja Azlan Muzaffar Shah dan puteri Sultan Perak, Raja Nazira Safya.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman, serta barisan EXCO negeri.

Acara larian yang memasuki kali kelapan penganjuran sempena Hari Keputeraan Sultan Perak yang disambut 2 November lalu, menyaksikan hampir 7,000 penyertaan dari dalam dan luar negara.

Sultan Nazrin turut berkenan melakukan pelepasan peserta larian pada jam 6.45 pagi membabitkan kategori 15 kilometer (km), 10km serta 7km.

Pelepasan peserta bagi kategori tetamu kehormat yang membabitkan jarak 2.8km pula dilepaskan oleh adinda Sultan Nazrin, Raja Datuk Seri Yong Sofia.

Ia kemudian disusuli dengan acara penyampaian hadiah kepada para peserta larian yang disempurnakan Raja Permaisuri sekitar jam 10 pagi.

Sultan Nazrin diiringi Menteri Besar seterusnya meraikan barisan pemain dan pegawai bola sepak Perak dan pasukan hoki negeri bersama-sama dengan trofi Piala Malaysia 2018 dan Piala Tun Abdul Razak.

Juga turut diraikan Baginda ialah pasukan bola sepak dan para atlet Perak yang beraksi dalam temasya dwitahunan Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");