Membawang Hari Ini

‘Tak Adil Untuk Penerbit’ – Norman

PRESIDEN Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Datuk Norman Abdul Halim berpendapat hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menarik tarikh tayangan bagi menyemak semula filem Polis Evo 2 adalah suatu perkara yang tidak adil bagi penerbit.

Menerusi laporan Harian Metro, kata Norman, perkara itu akan mewujudkan ketidak-tentuan di dalam industri dan menjejaskan pelaburan jangka panjang bagi ribuan warga industri pada masa akan datang.

Apatah lagi filem itu sudah melepasi piawaian proses kelulusan dari dua agensi kerajaan iaitu Lembaga Penapisan FIlem (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), sebelum ini.

Norman dalam kenyataan rasminya mewakili PFM awal hari ini berkata, pihaknya percaya penerbit filem ini iaitu Astro Shaw Sdn Bhd mematuhi segala garis panduan LPF yang ditetapkan dan proses pra-tonton 100 peratus juga sudah dilaksanakan.

“Sekiranya terdapat pertikaian dari mana-mana pihak yang belum menonton filem secara keseluruhan tapi membuat andaian yang tertentu, maka biarlah penonton Malaysia yang bijak menilaikannya sendiri.

“Adalah amat merisaukan penerbit-penerbit yang lain, sekiranya perkara sebegini sering berlaku dalam Industri perfileman Malaysia,” katanya.

Kata beliau lagi, pihak penerbit sudah mengeluarkan modal yang besar dan mempromosikan filem selepas mendapat tarikh tayangan.

“Oleh kerana ada pihak yang membuat komen dengan hanya melihat ‘trailer’ filem, semua proses pengeluaran filem terganggu.

“Dengan harapan mewujudkan industri kandungan kreatif yang lebih kondusif dan mampan diterajui oleh sektor swasta, persepsi negatif serta sekatan-sekatan terhadap industri hiburan tempatan harus dikikis dan tidak lagi dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Saya memohon kerajaan Malaysia membuat ketetapan yang jelas bahawa filem ini sudah mematuhi semua peraturan dan tidak dipertikaikan lagi untuk tayangan pada minggu depan,” katanya.

Filem aksi sekuel kepada Polis Evo yang pernah pecah panggung pada tahun 2015 lalu ini mendapat pelbagai reaksi orang ramai termasuk beberapa parti politik sejak dimuat naik pada 30 Oktober lepas di Facebook dan YouTube.

Malah, ‘trailer’ terbabit mencatat lebih 500,000 tontonan dan 4500 perkongsian sehingga kini.

Segelintir pihak merasakan filem Polis Evo 2 yang akan ditayangkan 22 November depan cuba mencerminkan umat Islam sebagai pengganas dan jahat.

Hal ini ditonjolkan melalui watak ketua pengganas bernama Hafsyam Jauhari lakonan Hasnul Rahmat yang membawa imej Islamik dengan pemakaian serban.

Selain Hasnul, Polis Evo 2 masih mengekalkan barisan pelakon asal iaitu Shaheizy Sam dan Zizan Razak, selain menampilkan pelakon lain antaranya Erra Fazira, Raline Shah, Hairul Azreen, Soffi Jikan, dan Syafie Naswip.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");