Sukan Hari Ini

Tambah Tiket Aksi Malaysia-Myanmar

KUALA LUMPUR: Ibarat pisang goreng panas! Itu gambaran sambutan penyokong terhadap aksi Piala AFF antara Malaysia dan Myanmar selepas mereka mula berebut bagi mendapatkan tiket perlawanan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Sambutan menggalakkan itu terbukti selepas kuota 12,000 tiket yang dijual secara dalam talian dan di cawangan terpilih Al-Ikhsan Sports kini sudah habis dijual.

Susulan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah pantas dengan menambah kuota tiket bagi penjualan di dua saluran berkenaan.

Malah, penyokong Harimau Malaya kini sudah boleh kembali membuat pembelian dalam talian bermula, hari ini.

Bagi penjualan di cawangan Al-Ikhsan Sports pula, FAM menambah 2,000 keping tiket lagi iaitu tiket bagi tempat duduk terbuka.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan badan induk itu juga mengambil inisiatif lain bagi memudahkan penyokong mendapatkan tiket untuk aksi yang boleh dianggap sebagai perlawanan hidup mati Harimau Malaya ke peringkat separuh akhir.

“FAM mengambil inisiatif tambahan apabila turut akan membuka ‘kaunter khas’ di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula pada Selasa hingga Khamis ini dari 10 pagi hingga 5 petang.

“FAM juga dalam perbincangan dengan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi mendapatkan kebenaran membuka kaunter jualan tiket di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini sempena dengan cuti umum.

“Ia bagi memberi lebih pilihan kepada penyokong Harimau Malaya membeli tiket lebih awal. Info lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas mendapat pengesahan.

“Seterusnya, kaunter tiket di Stadium Nasional, Bukit Jalil seperti biasa akan dibuka pada Jumaat dari 10 pagi hingga 5 petang dan juga pada hari perlawanan bermula dari jam 10 pagi hingga sepak mula perlawanan,” kata Stuart.

Harga tiket bagi perlawanan itu bernilai RM20 bagi tempat duduk terbuka, RM30 bagi tempat duduk grandstand dan RM5 bagi tiket kanak-kanak lapor Harian Metro.

Selain itu, Stuart berharap seluruh penyokong Harimau Malaya dapat membanjiri stadium bagi memberi sokongan padu kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

“Sudah tentu kelebihan beraksi di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan dengan bantuan sorakan padu daripada puluhan ribu penyokong Harimau Malaya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");