Jenayah

Tergamak Tinggal Budak Sendirian Di Rumah

PETALING JAYA – Seorang wanita hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membiarkan anak saudaranya berusia 6 tahun tinggal bersendirian di rumah, bulan lalu.

Tertuduh, Au Jia Cheng, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshahirah Abd Salim.

Mengikut pertuduhan, Jia Cheng didakwa telah membiarkan anak saudaranya itu tinggal tanpa pengawasan berpatutan secara berseorangan dengan mengunci pintu dari luar di sebuah rumah di Jalan SS22/27, Damansara Jaya, di sini pada kira-kira 6.30 petang, 7 Oktober lalu.

Jia Cheng yang baharu selesai menamatkan pengajian dalam jurusan fisioterapi didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, pada awalnya jiran tertuduh mendengar suara kanak-kanak tersebut menangis sebelum membuat laporan polis.

Tertuduh didakwa meninggalkan anak saudaranya itu bersendirian di rumah hampir dua jam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Asyh’ari Kamaruzaman mencadangkan jumlah jaminan RM7,000 dikenakan terhadap tertuduh namun wanita itu yang diwakili peguam Mohd Syazwan Mohd Hassan memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya masih belum bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Disember depan untuk sebutan semula kes lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");