Perak Hari Ini

“Terserah Kepada Hasnul…” – Bekas Presiden PAFA

IPOH: “Terserah kepada beliau”, demikian kata Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ketika diminta mengulas tentang keputusan Barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) yang menolak permohonan Presiden, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim untuk meletakkan jawatannya pada semalam.

Zainol yang juga bekas Presiden PAFA berkata, apa yang dilakukan oleh EXCO PAFA adalah selaras dengan prosedur yang ditetapkan.

Jelasnya, mereka mempunyai kuasa untuk memecat ataupun melantik sesiapa sahaja bagi menduduki mana-mana posisi di dalam badan induk tersebut.

“Itu prosedur yang ditetapkan. Bagi yang tidak faham mungkin tidak tahu apa yang EXCO buat itu sebenarnya mengikut prosedur.

“Soal persepsi penyokong itu lain. Dalam kita membuat sebarang keputusan, adakalanya kita perlu memikirkan persepsi di luar. Namun apa pun, kita harus menghormati keputusan mereka itu.

“Cuma mungkin pada pandangan penyokong bola sepak itu berbeza dan kita tidak boleh kawal,” katanya ketika ditemui dalam satu sidang media di Koloni Karyawan Aman Jaya (PORT), di sini, hari ini.

Selain itu, Zainol turut berpandangan bahawa mana-mana organisasi yang penting kepada negeri seperti PAFA harus merujuk kepada Menteri Besar dalam membuat sebarang keputusan.

Ketika ditanya pandangan beliau sekiranya Hasnul mengisi semula kerusi Presiden PAFA, Zainol berkata Hasnul seharusnya melihat kepada pandangan yang lebih luas.

Walau bagaimanapun, beliau turut menyifatkan tindakan Hasnul melepaskan jawatanya dalam PAFA itu sebagai satu tindakan yang berani.

“Secara peribadi apabila kita sudah buat keputusan, kita perlu tetap dengan keputusan yang telah dibuat, demi kepentingan organisasi yang kita pimpin.

“Tetapi apabila sudah terjadi begini, terserah kepada beliau. Banyak faktor yang perlu dilihat.

“Saya pun pernah ‘come back’, yang mana selepas tiga tahun saya diminta untuk menjadi Bendahari PAFA dan kini, atas pandangan Menteri Besar, saya diminta untuk membantu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut ditanya pandangan beliau sekiranya terdapat sebarang kemungkinan sama ada akan dipanggil semula bagi menerajui PAFA.

Jawab Zainol, beliau pada peringkat awal lagi telah menolak pelawaan untuk kembali menjadi Presiden PAFA

“Memang pada awal, Menteri Besar mahukan saya sebagai Presiden PAFA. Namun, saya maklumkan kepada beliau, saya terpaksa tolak pelawaan tersebut.

“Saya mahu ia diberikan peluang kepada Exco Kerajaan Negeri yang lain.

“Walau bagaimanapun, prinsip saya mudah. Saya akan rujuk kepada Menteri Besar atas sebarang keputusan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");