Perak Hari Ini

Tiga Elemen Utama Diberi Penekakan Dalam Kajian Semua DRSN 2040

IPOH: Dalam usaha memperhalusi semula Draf Rancangan Struktur Negeri (DRSN) 2040, kerajaan Perak akan memberi penekanan kepada tiga elemen utama.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara elemen tersebut ialah memastikan setiap kos melibatkan perancangan pembangunan negeri harus mencapai nilai optimum supaya elemen pembaziran dan ketirisan tidak berlaku.

Katanya lagi, perancangan yang bakal dimuktamadkan juga harus mampu memacu pentadbiran negeri dalam usaha memenuhi harapan rakyat untuk mengembalikan kegemilangan Perak.

Seterusnya, ujar Ahmad Faizal, teras ketiga yang akan diberi perhatian dalam pengkajian semula draf tersebut ialah, memastikan setiap perancangan yang dirangka itu mampu memberi manfaat kepada setiap anggota rakyat di negeri ini.

Dalam pada itu, katanya, antara sektor yang bakal diberi penekanan khusus dalam DRSN 2040 ialah sektor pelancongan, pertanian, pembuatan dan pengangkutan.

Walau bagaimanapun, katanya lagi, kerajaan negeri tidak akan mengabaikan perancangan pembangunan yang melibatkan sektor-sektor lain seperti alam sekitar.

“Saya berharap agar program ‘retreat’ ini, walaupun diadakan dalam jangka masa yang singkat, diharap ia mampu mendapatkan pelbagai idea dan pandangan.

“Ini bagi memastikan Draf Rancangan Struktur Negeri (DRSN) 2040 ini, apabila dibawa ke Majlis Perancang Fizikal Negara, akan diterima dan diguna pakai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Retreat DRSN 2040 di Royal Perak Golf Club, di sini, hari ini.

Pada perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata, sepanjang tempoh publisiti draf tersebut kepada umum, sebanyak 28 bantahan yang diterima Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri, daripada individu dan pertubuhan-pertubuhan di negeri ini.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara lanjut perkara dan bentuk bantahan tersebut.

Ketika ditanya pemberita berkenaan perkembangan kajian semua DRSN 2040 itu, beliau berkata hanya terdapat sebilangan kecil perubahan yang berlaku.

“Kita tidak mengubah semua perkara yang telah ada dalam draf itu. Akan tetapi, tentunya ada perkara yang kita telah berikan fokus, seperti yang disebutkan tadi.

“Dan juga beberapa perkara lain yang kita rasakan wajar diberi penekanan untuk membawa negeri ini lebih maju menjelang tahun 2040,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");