Berita Hari Ini

TPM Adakan Lawatan Rasmi Ke Qatar Esok

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, akan mengadakan lawatan rasmi ke Qatar bermula esok hingga 27 November ini.

Kementerian Luar, dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan Dr Wan Azizah akan diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking; Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Marzuki Yahya; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah; dan pegawai kanan kerajaan.

“Lawatan ini akan memberi peluang kepada timbalan perdana menteri untuk membincangkan hala tuju untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua negara dan bertukar pandangan mengenai pelbagai hal dan isu yang mempunyai kepentingan bersama.

“Timbalan perdana menteri dijadual menghadap Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Sheikh Abdullah Nasser; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan, Dr Khalid Mohammed Al Attiyah; Menteri Pentadbiran Pembangunan, Buruh dan Hal Ehwal Sosial, Yousef Mohammed Al Othman Fakhro dan Menteri Kesihatan Awam, Dr Hanan Al Kuwari.

“Selain itu, timbalan perdana menteri juga akan menyampaikan ucapan di Universiti Qatar, menghadiri Mesyuarat Meja Bulat dengan ketua industri dari pelbagai sektor ekonomi serta mengadakan lawatan ke Yayasan Pendidikan, Sains dan Pembangunan Komuniti Qatar,” katanya.

“Dr Wan Azizah juga akan bertemu diaspora Malaysia di Qatar pada Isnin,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Qatar adalah rakan ekonomi penting bagi Malaysia. Pada tahun lalu, jumlah perdagangan dengan Qatar meningkat sebanyak 21.7 peratus kepada RM2.8 bilion daripada RM2.3 bilion pada tahun sebelumnya.

“Lima eksport utama ke Qatar pada tahun lalu adalah makanan yang telah diproses; produk elektrik dan elektronik; jentera dan peralatan; perkilangan logam; dan minyak kelapa sawit serta produk pertanian berasaskan sawit.

“Sementara itu, import utama dari Qatar adalah bahan kimia dan produk kimia, petroleum mentah, produk petroleum, perkilangan logam serta jentera dan peralatan,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");