Berita Hari Ini

Ular Dari Gopeng Dipos Ke Penang

PETALING JAYA: Seorang kakitangan Pos Laju dikejutkan dengan sebuah bungkusan yang tertera ‘but bola’ tetapi isi di dalamnya bergerak-gerak.

Bungkusan seberat hampir 2 kilogram itu dialamatkan ke blok kediaman di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.

Difahamkan beberapa kakitangan Pos Malaysia telah membuka bungkusan berkenaan dan terkejut apabila mendapati isi kandungannya merupakan seekor ular sawa batik.

Berdasarkan ‘tracking number’ yang disemak melalui laman web Pos Laju, bungkusan itu dihantar pengirimnya menerusi serahan di kaunter di Pejabat Pos Mambang Diawan, Kampar, Perak pada petang 8 November lalu.

Bungkusan tersebut tiba di Pos Laju Kepala Batas, Pulau Pinang pada 9 November sebelum dihantar semula ke Cawangan Serahan Sungai Buloh kerana didapati melanggar peraturan yang ditetapkan.

Jurucakap Pos Malaysia ketika dihubungi mStar Online menyifatkan tindakan tersebut sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Malah, katanya tindakan tersebut berisiko menyebabkan ancaman keselamatan petugas Pos Malaysia dan orang awam selain menjejaskan operasi syarikat.

Beliau berkata, Pos Malaysia maklum mengenai hantaran tular di laman media sosial yang memaparkan beberapa keping gambar bungkusan Pos Laju berlabel ‘but bola’.

“Pos Malaysia menegaskan bahawa perbuatan mengirim bungkusan yang mengandungi haiwan, termasuklah serangga, telur, larva, burung dan gading, adalah dilarang sama sekali,” katanya.

Tambah beliau lagi, penghantaran sebarang barangan larangan sekiranya diketahui kakitangan akan ditolak penerimaannya atau, jika dikesan dalam perjalanan, akan ditahan.

“Barangan itu akan diuruskan dalam apa jua cara yang difikirkan wajar oleh Pos Malaysia dan dalam sesetengah kes, pengirimnya boleh didakwa di mahkamah,” katanya.

Susulan itu, beliau menggesa orang ramai untuk membuat pertanyaan di pejabat pos atau cawangan Pos Laju bagi mengetahui sama ada pengiriman sesuatu barangan itu dibenarkan.

mStar Online berjaya menghubungi penerima bungkusan tersebut petang Isnin.

Individu itu mengesahkan dirinya sebagai penerima bungkusan berkenaan.

Namun dia enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");