Berita Hari Ini

Usah Biar Golongan Elit Kaut Kekayaan Negara – Anwar

KUALA LUMPUR: Sudah cukup peluang ekonomi dan penciptaan kekayaan dikaut golongan elit, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, golongan berkenaan hanya mempersia-siakan peluang apabila mereka terbabit dengan kesalahan tadbir urus, mencuri dan terpalit dengan amalan rasuah yang memalukan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, prinsip keadilan menuntut untuk ditetapkan batasan bagi mengelak lebihan selain memastikan pembabitan semua golongan dalam mencipta perusahaan dan kekayaan.

“Malaysia mencapai perubahan demokratik melalui kotak undi yang sekali gus membolehkan kami melaksanakan pilihan untuk golongan miskin. Kami berdiri atas prinsip kesejahteraan dan martabat manusia sebagai nilai paling asas.

“Perubahan penting ini bermakna, ia adalah keperluan buat mereka yang sememangnya memerlukan yang akan menentukan pembahagian bantuan kerajaan, hak dan tindakan afirmatif.

“Cukuplah kita menyalurkan peluang ekonomi dan penciptaan kekayaan dengan bersandarkan kepada golongan elit yang disia-siakan dengan salah urus, kecurian melalui amalan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Persidangan Bosphorus kesembilan bertemakan Melestarikan Keamanan dan Pembangunan Untuk Semua di Istanbul, Turki semalam, lapor BH Online.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh mengenai golongan muda yang perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran.

Katanya, ia bagi membolehkan golongan itu menjadi insan produktif, kreatif serta berwawasan supaya tidak ‘tenggelam’ dalam letusan era teknologi.

Menurutnya, sebagai usaha untuk memastikan anak muda sentiasa dipercayai, bidang pendidikan mampu menjadi nilai mampan yang berterusan untuk memperkasa golongan itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, anak muda mesti menyesuaikan diri dalam era sekarang supaya pemikiran mereka turut sama berkembang seiring peredaran zaman.

“Pendidikan adalah satu lagi nilai mampan yang berterusan. Jadi, kita perlu menyesuaikan diri dengan dunia digital pada masa hadapan.

“Kita juga mesti bersedia dengan kebangkitan dan kemampuan kecerdasan buatan yang mampu memenuhi cabaran dengan kesedaran kritikal mengenai manfaat dan potensi kegagalan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");