Jenayah

11 Lagi Direman Susulan Rusuhan Di Kuil

PETALING JAYA : Seramai 11 lagi individu direman di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, menjadikan jumlah keseluruhan 55 orang.

Memetik laporan BH Online, Majistret Nor Ariffin Hisham mengeluarkan perintah reman terhadap 11 suspek yang berusia antara 18 hingga 50 tahun itu bermula hari ini antara dua hingga tujuh hari selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat kes itu.

Semua mereka disiasat di bawah Kanun Keseksaan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).

Sementara itu, Nor Ariffin turut melanjutkan tempoh reman selama tiga hari terhadap lapan lagi suspek yang tempoh remannya tamat hari ini bagi membantu siasatan kes sama.

Menurut sumber, seramai tujuh individu direman oleh mahkamah sama bagi membantu siasatan pada kelmarin dan semalam.

Antara 55 individu yang direman sejak Selasa minggu lalu untuk membantu siasatan kes sama ialah penasihat undang-undang syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City), yang juga dipercayai menjadi dalang insiden kekecohan itu.

Dalam kejadian awal pagi itu, 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin pusat beli-belah One City turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah diserang perusuh dan dilaporkan masih berada di dalam keadaan kritikal namun stabil di Institut Jantung Negara (IJN).

One City Development Sdn Bhd adalah pemaju yang memiliki tanah kuil berkenaan.

Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil itu mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Oktober lalu.

Bagaimanapun, pada 25 Oktober lalu, kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan ketika urusan pemindahan dijalankan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");