Perak Hari Ini

Ahmad Faizal Nafi Dakwaan PAFA Tamatkan Kontrak 3 Pemain Import

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menafikan dakwaan yang mengatakan tiga pemain import skuad The Bos Gaurus daripada Brazil akan ditamatkan kontrak.

Dakwaan yang tular di beberapa laman Facebook sejak semalam menyebut awang-awang import terbabit ialah Leandro Dos Santos Oliveira; Gilmar Jose Da Silva Filho serta Wander Luiz.

Ia turut menyebut kononnya PAFA akan mencari pemain lain bagi mengisi kekosongan tersebut selain turut mendakwa nasib pemain import yang lain berkemungkinan juga akan terjejas.

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dakwaan tersebut tidak datang daripada PAFA malah katanya persatuan berhasrat untuk mengekalkan mereka pada aksi yang akan datang.

“Saya kira perkara ini belum diputuskan dan berdasarkan pada pengetahuan saya, mereka akan dikekalkan.

“Saya tak tahu daripada mana sumber yang mereka dapat terhadap kenyataan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berkhatan di Taman Meru, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada fokus beliau sebagai Menteri Besar Perak akan terganggu dengan jawatan yang dilantik menerusi Kongres Luar Biasa PAFA semalam, Ahmad Faizal berkata tugasnya itu tidak terganggu malah katanya, beliau akan menggalas kedua-dua amanah itu dengan sebaik mungkin.

“Walaupun ini tanggungjawab yang berat namun, saya yakin dengan bantuan semua exco, timbalan presiden dan ahli-ahli gabungan persatuan seluruh daerah, akan membantu saya mengemudi persatuan ini.

“Jawatan ini tidak akan menjejaskan tanggungjawab saya dalam mentadbir kerajaan negeri kerana saya sudah nyatakan dalam kongres semalam bahawa setiap daripada kita ada tanggungjawab masing-masing.

“Sebagai Presiden, tugas saya adalah dalam menentukan dasar serta pastikan tajaan untuk pasukan ditingkatkan supaya dapat menjaga kesemua anggota pasukan kita dengan lebih baik,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut mengumum akan menyenaraikan nama pemain pasukan bola sepak negeri bagi menghadapi saingan musim akan datang sebelum 21 Disember ini.

Beliau juga dalam pada itu turut berharap agar persatuan bola sepak di semua daerah akan bergerak lebih aktif berbanding sebelum ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");