Sukan Hari Ini

AirAsia ‘Terbangkan’ Penyokong Harimau Malaya

SEPANG: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia menyemarakkan lagi kehangatan separuh akhir kedua Piala AFF 2018 menerusi penerbangan khas buat penyokong skuad Harimau Malaya ke Bangkok.

Menyedari kepentingan ‘pemain ke-12’ untuk menyuntik semangat pemain skuad kebangsaan bagi aksi bertemu Thailand, AirAsia mengambil inisiatif bagi membolehkan penyokong tegar negara, Ultras Malaya ‘menggegar’ Stadium Rajamangala malam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat berkata, tawaran terbabit dicetuskan sebagai satu bentuk penghargaan kepada penyokong setia skuad kebangsaan dan berbesar hati untuk sekali lagi melaksanakan penerbangan khas selepas kali pertama dilakukan pada 2014.

“Inisiatif ini berdasarkan semangat kepada pasukan negara dan kita membantu mereka melontarkan sokongan memandangkan kita memiliki sumber yang boleh digunakan.

“AirAsia dan sukan sememangnya tidak dipisahkan jadi atas dasar ini juga kita gembira untuk memberi peluang ini khususnya kepada penyokong di belakang tabir yang tidak pernah berhenti memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan Penerbangan Khas Ultras Malaya bersama AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), hari ini.

Sebagai rekod, penerbangan khas itu menerbangkan seramai 160 penyokong tegar Harimau Malaya ke Bangkok pada kos lebih rendah iaitu dengan harga penerbangan pergi balik berjumlah RM349.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Lokman Hakim Ali mengharapkan lebih banyak entiti swasta dapat turut bekerjasama dalam membantu menjayakan pembangunan sukan di negara ini lapor HMetro.

“Ini adalah satu kerjasama yang baik antara AirAsia dan KBS khususnya dalam memartabatkan atlet negara kita yang bertanding di peringkat antarabangsa.

“KBS melihat ini sebagai perkembangan yang positif dan saya yakin kehadiran penyokong ke Thailand akan menaikkan semangat pemain negara dalam mencari tiket ke pentas akhir Piala AFF 2018,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");