Panasnya Hari Ini

Akar Umbi Umno Bantah ‘Tawaran’ Nazri, Enggan Kerjasama Dengan DAP

Dalam usaha untuk memastikan survival Umno, Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz mengakui bahawa beliau telah berjumpa dengan bakal perdana menteri, Anwar Ibrahim untuk membuat satu tawaran.

Antara permintaan Nazri, adalah bagi Anwar menyelamatkan Umno dengan tidak membubarkan pendaftarannya. Sebagai pertukaran, anggota parlimen Umno akan menyokong Anwar apabila beliau menjadi perdana menteri dalam masa satu setengah tahun lagi.

Namun rakaman perjumpaan antara Nazri dengan anggota Umno yang diperolehi oleh Malaysiakini mengenai pertemuan malam tadi, mendapti bahawa sebahagian akar umbi parti kurang selesa dengan tawaran itu.

Malaysiakini boleh mengesahkan bahawa rakaman itu sebagai sahih.

Dalam satu sesi soal jawab, seorang hadirin yang memperkenalkan dirinya sebagai Ketua Pemuda Umno Ampang Zulkifli Rajalie memberitahu Nazri bahawa sebahagian besar akar umbi tidak selesa kerana mereka tidak mahu bekerja dengan DAP.

“Kerjasama Umno-PKR-DAP, dengar saja orang Umno nak melompat.

“Boleh terima ke tak boleh terima kerja dengan DAP, orang Umno?” soal Zulkifli sambil disambut oleh hadirin dengan sorakan “tidak”.

Beliau berkata bahawa bekerjasama dengan DAP juga boleh menyebabkan Umno kehilangan kepercayaan orang Melayu.

“Kita risau orang Melayu akan hilang kepercayaan dengan Umno.

“Suara rakyat kena dengar, suara himpunan anti-Icerd itu kena dengar, (kita mahu) umat Islam bersatu,” katanya.

Beliau juga berkata Pemuda Umno lebih suka jika parti itu tidak tergesa-gesa  menjadi sebahagian daripada kerajaan, dan sebaliknya memperbetulkan parti dan kepimpinannya.

Nazri membalas dengan berkata bahawa Umno sebenarnya akan bekerjasama dengan Anwar, bukan DAP.

“Kita tak kerjasama dengan DAP. Kita dalam pembangkang kita lemah, kita tak boleh buat tuntutan dengan orang,” katanya.

Beliau juga berkata pemimpin yang mengajar anggota Umno untuk membenci DAP, iaitu Dr Mahathir Mohamad, telah menjadi perdana menteri untuk kali kedua dengan bekerja dengan parti berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Nazri berkata DAP adalah masalah Anwar dan tidak sepatutnya timbul sebarang masalah dengan Umno kerana ia tidak bertanding di kawasan Melayu.

Beliau berkata secara ideal pada pilihan raya akan datang, Umno akan bertanding di kerusi majoriti Melayu, manakala PKR pula di kerusi campuran.

Mengenai kerusi bukan Melayu, beliau berkata dirinya tidak peduli sama ada ia dipertandingkan oleh DAP, MCA atau Gerakan.

Sementara itu, dalam kenyataan kepada Malaysiakini, bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii kesal dengan percaturan dalam parti tersebut.

“Apa yang terjadi hari ini menunjukkan perpecahan semakin ketara, saban hari ada sahaja ahli Umno yang keluar dengan pelbagai alasan.

“Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) dilihat tidak dapat mengawal kumpulan-kumpulan pro- Mahathir dan kumpulan pro-Anwar.

“Mereka menjaja cerita macam-macam dan saya tidak nampak akan ia akan ke arah positif, malah ia ibarat retak menunggu belah,” kata Razlan.

Semalam, beberapa sumber parti mendakwa bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein adalah dalang di sebalik tindakan beberapa wakil rakyat parti itu yang berpaling tadah. Beliau walau bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Sementara itu, hari ini, beberapa pemimpin kanan Umno, termasuk Timbalan Presiden Mohamad Hasan, mengakui bahawa mereka berjumpa dengan Mahathir pada bulan Oktober lalu, untuk merayu agar parti itu tidak dibubarkan.-Mkini

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");