Panasnya Hari Ini

Armada Kecam Naib Presiden BERSATU

PUTRAJAYA: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) mengecam kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang mengarahkan pemberian kontrak secara kronisme dan rundingan terus dalam usaha meraih sokongan penduduk setempat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin, berkata proses penganugerahan tender dalam zaman Malaysia baharu sebaliknya perlu bersandarkan merit dan kelayakan penerima, berbanding dasar ‘pilih kasih’.

Sehubungan itu, Armada menolak dan akan tampil memerangi sebarang tindakan dalam kepemimpinan BERSATU yang dikesan memberikan tender secara rundingan terus dan amalan ‘kabel’ parti.

“Kenyataan ini tidak mewakili pimpinan parti, malah bagi seorang Naib Presiden BERSATU (Abdul Rashid), ia amat tidak sesuai diutarakan kerana khuatir bakal mengundang salah faham dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.

“Armada tidak akan berdiam diri jika tahu mengenai sebarang penyelewengan kuasa ‘membarah’ dalam parti, malah kita sendiri akan tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

“Cabaran kami sebagai sayap pemuda ialah untuk merintis perubahan ke arah pemikiran Melayu berintegriti dan amanah, justeru ada cara lain untuk menjana kewangan parti,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam, lapor BH Online.

Abdul Rashid ketika menyampaikan ucapan penggulungan mendesak peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dikembalikan supaya sistem itu memanfaatkan ketua cawangan dan bahagian parti, selain diberikan semula kepada masyarakat setempat.

Beliau dilaporkan berkata, kaedah itu berupaya memastikan ketua bahagian dan cawangan mempunyai peruntukan mencukupi untuk menjalankan program di kawasan mereka, sekali gus meraih sokongan pengundi.

Ulya ketika membidas corak pemikiran kolot itu menjelaskan ada cara lain untuk menjana pendapatan parti bagi membiayai program berkaitan demi manfaat masyarakat setempat.

Katanya, ia merangkumi pendanaan awam dan penganjuran program berkaitan menerusi kerjasama dengan sektor swasta, tanpa membabitkan sebarang amalan kronisme yang menyaksikan pemberian kontrak secara rundingan terus.

“Armada sendiri akan anjurkan pertandingan golf dalam tempoh terdekat untuk membiayai program parti, justeru kami amat tidak bersetuju dengan pendekatan meraih pendapatan menerusi kontrak kerajaan.

“Kalau mereka betul-betul layak, kami tidak kisah kontrak itu dianugerahkan kerana ia bersandarkan prinsip merit dan kelayakan, cuma jangan secara rundingan terus,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");