Sukan Hari Ini

BAM Tak Sekat Pemain Yang Mahu Keluar

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminon Malaysia (BAM) kekal komited untuk membina pasukan terkuat walaupun beberapa pemain utama meninggalkan badan induk itu.

Presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, ketika dihubungi berkata ia bertepatan dengan pelan strategik badan induk itu menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Awal minggu ini, pasangan beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying meninggalkan pasukan kebangsaan dan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga dijangka mengikut langkah berkenaan.

Sambil mengakui beliau masih belum bercakap dengan pasangan yang sedang dilanda masalah itu berkaitan hasrat mereka meninggalkan persatuan itu, Norza berkata BAM tidak akan menyekat mereka.

“Sudah dinyatakan dengan jelas sejak mula bahawa BAM sedang bergerak untuk membina skuad lebih baik dengan pemain muda.

“Seperti saya nyatakan sebelum ini, kes Peng Soon-Liu Ying sama seperti dihadapi Iskandar (Zulkarnain Zainuddin). Sasaran mereka ialah layak ke Olimpik 2020 tetapi mereka mahu melakukannya dengan cara mereka sendiri.

“Di BAM kami mahu pemain memiliki peluang itu. Kami membiarkan mereka pergi jika itu yang mereka mahu.

“Sebaliknya, jika pemain kekal bersama badan induk dan tidak mempamerkan prestasi yang menepati sasaran tertentu, mereka tetap akan digugurkan.

“Jadi, dari keluar dengan cara yang sukar, kami memberikan pemain peluang untuk membuat keputusan,” kata Norza.

Norza berkata, tiada sebab untuk pihaknya menekan butang panik, ketika pemain utama itu juga sudah semakin berusia.

Peng Soon kini berusia 30 tahun manakala Liu Ying, V Shem dan Wee Kiong semuanya berusia 29 tahun.

“Benar, saya faham pemain ini adalah pemenang pingat Olimpik tetapi jika anda ingat, saya sebelum ini bersama C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan).

“Kini selaku presiden, saya perlu terus menghasilkan lebih ramai Olimpian.Kami ada pemain seperti Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita), itu masa depan kita,” kata Norza.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");